SELANGOR: Hanya dua jatuhan pin memisahkan Mohamad Yakup Winei daripada pingat perak, namun persembahan konsisten beliau itu sudah cukup untuk menghadiahkan gangsa kepada Sarawak dalam acara tenpin boling Perseorangan Lelaki TPB3 Akhir Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026 di Sunway Megalanes, pada Isnin.
Mohamad Yakup mengumpul 969 jatuhan pin selepas mengharungi enam permainan untuk menamatkan saingan di tempat ketiga dengan purata 161.50, sekali gus menambah koleksi pingat buat kontinjen Bumi Kenyalang.
Persaingan bagi tempat kedua berlangsung cukup sengit apabila wakil Pahang, Mohamad Hafis Mohamad Ali, hanya mencatat 971 jatuhan pin, manakala emas menjadi milik wakil Sabah, Muhammad Azri Azman yang tampil jauh lebih unggul dengan 1,162 jatuhan pin.
Yakup memulakan saingan dengan rentak meyakinkan apabila menghasilkan catatan 192 jatuhan pin pada permainan kedua dan ketiga, masing-masing menjadi antara persembahan terbaiknya sepanjang enam permainan.
Meskipun tidak berjaya mengekalkan kedudukan untuk mencabar emas, Yakup terus bertahan dalam kelompok tiga terbaik sebelum mengesahkan gangsa dengan perbezaan hanya dua pin daripada Hafis.
Turut beraksi dalam acara sama, seorang lagi wakil Sarawak, Muhammad Jeffery Bujang Man yang menamatkan saingan di tempat kelapan dengan 676 jatuhan pin. -EDISI UKAS