Nur Amalina Buka Langkah Emas Tenpin Boling, Rosserrine Lengkapkan Podium Sarawak
SELANGOR: Skuad Para Tenpin Boling Sarawak membuka tirai saingan Para SUKMA Selangor 2026 dengan langkah bergaya apabila Nur Amalina Mohd Mosadad menghadiahkan pingat emas, manakala Rosserrine Issawell Manong Raymond menambah gangsa dalam acara Perseorangan Wanita TPB10 Akhir di Sunway Megalanes, pada Isnin.
Nur Amalina, yang juga atlet kebangsaan, muncul juara selepas mengumpul 997 jatuhan pin sepanjang enam pusingan, meninggalkan wakil Selangor, Nur Hidayah Sulaiman yang meraih perak dengan 853 jatuhan pin.
Atlet Sarawak itu bermula dengan 172 jatuhan pin sebelum memperaga permainan terbaiknya pada pusingan kedua dengan 214 jatuhan pin, sekali gus meletakkan dirinya dalam kedudukan kukuh untuk memburu emas.
Meskipun catatannya sedikit menurun pada pusingan ketiga dengan 127 jatuhan pin, Nur Amalina kembali mencatat 163, 161 dan 160 pada tiga pusingan terakhir untuk menamatkan saingan dengan purata 166.17 jatuhan pin.
Sementara itu, Rosserrine memastikan Sarawak turut berdiri di podium apabila mengakhiri saingan di tempat ketiga dengan 809 jatuhan pin, pada purata 134.83.
Rosserrine menampilkan permainan yang lebih konsisten sepanjang enam pusingan dengan catatan 137, 139, 126, 127, 141 dan 139 jatuhan pin untuk mengesahkan gangsa. -EDISI UKAS