Bibiana Tutup Tirai Para SUKMA Dengan Emas, Rekod Kebangsaan
SELANGOR: Atlet Para Angkat Berat Sarawak, Bibiana Ahmad memilih cara paling manis untuk menutup tirai penyertaannya di pentas Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) dengan menghadiahkan emas dan rekod kebangsaan buat Sarawak.
Atlet berusia 38 tahun itu menamatkan saingan kategori Lightweight bawah 61 kilogram (kg) wanita dengan angkatan 86kg, sekali gus bukan sahaja mengungguli podium, malah melakar rekod kebangsaan dalam penampilan yang mungkin menjadi yang terakhir buatnya di temasya berkenaan.
Lebih bermakna, kejayaan itu hadir selepas Bibiana melalui cabaran besar untuk menurunkan berat badan bagi memenuhi had kategori bawah 61kg, sesuatu yang diakui menguji kesabaran dan ketahanan dirinya.
“Perlu bersabar kerana saya menghadapi kesukaran untuk menurunkan berat badan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian pingat, di sini pada Isnin.
Beliau sebelum ini pernah meraih emas di pentas Para SUKMA, namun dalam kategori melebihi 61kg.
Kali ini, beliau memilih untuk keluar daripada zon selesa dengan menurunkan berat badan dan mencabar dirinya dalam kategori Lightweight.
Percaturan itu akhirnya membuahkan hasil yang jauh lebih bermakna apabila angkatan 86kg bukan sahaja membawa emas, tetapi turut meleburkan rekod kebangsaan.
Bagi Bibiana, kejayaan tersebut menjadi bukti bahawa perjalanan menuju podium tidak sentiasa mudah dan memerlukan kesabaran untuk bertahan ketika berdepan cabaran.
“Jangan mudah mengalah dan pastikan bersabar sepanjang proses,” katanya ketika ditanya mengenai pegangan yang membantunya terus bertahan sepanjang persiapan.
Kejayaan Bibiana turut dilengkapkan dengan sumbangan Nurul Rabiatul Adawiyah Bakri yang meraih pingat gangsa selepas mencatat angkatan 56kg.
Menurut beliau, kejayaan di pentas pertandingan bukan hasil kekuatan seorang atlet semata-mata, sebaliknya lahir daripada sokongan dan kerjasama jurulatih, pengurus serta seluruh pasukan yang berada di belakangnya. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi