Digimon GP Borneo 2026 Platform Perkasa Komuniti Hobi, Rancakkan Ekonomi Kreatif
MIRI: Penganjuran Digimon GP Borneo & Hobbies Expo 2026 dilihat sebagai satu platform berimpak tinggi dalam memperkasa komuniti hobi, di samping membuka peluang ekonomi kreatif khususnya dalam kalangan golongan muda.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata dunia hobi dan koleksi kini mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai industri yang menjana nilai ekonomi.
Menurut beliau, permainan seperti Digimon turut membantu membentuk kemahiran berfikir secara strategik, membuat keputusan serta menggalakkan interaksi sosial dalam kalangan pemain.
“Jangan kita pandang rendah kepada sesuatu hobi kerana sesuatu yang bermula sebagai minat juga boleh membuka peluang baharu.
“Daripada seorang pemain atau pengumpul, seseorang boleh mengembangkan kemahiran dalam bidang reka bentuk grafik, penciptaan kandungan, fotografi, pengurusan acara, peruncitan atau e-dagang dan akhirnya menjadi usahawan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah program berkenaan pada Ahad.
Beliau turut memaklumkan bahawa edisi ketujuh penganjuran kali ini menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan penyertaan bukan sahaja dari Sarawak, malah dari Semenanjung Malaysia dan Brunei Darussalam.
Katanya, kehadiran peserta luar turut memberi limpahan ekonomi kepada Miri melalui penggunaan kemudahan penginapan, restoran, pengangkutan serta perkhidmatan lain sepanjang program berlangsung.
Dalam pada itu, beliau berharap lebih banyak acara berasaskan sukan, kebudayaan, belia dan komuniti dapat dianjurkan di bandar raya tersebut bagi merancakkan lagi sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
Beliau juga optimis Digimon GP Borneo & Hobbies Expo berpotensi untuk berkembang sebagai acara hobi dan koleksi yang dikenali di peringkat rantau Borneo pada masa hadapan.
Pada majlis sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Persatuan Usahawan Anak Sarawak Bahagian Miri, Myy Hobbies & Collection Fest, para penaja serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.-EDISI UKAS