RM295,000 Geran MRP disalurkan kepada 40 penerima di Tanjong Batu
BINTULU: Sebanyak RM295,000 Geran Peruntukan Premier Sarawak (MRP) disalurkan kepada 40 penerima terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), kelab, persatuan dan pertubuhan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu.
Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tanjong Batu, Dato Haidar Khan Asghar Khan berkata, bantuan seumpama itu akan memberi manfaat kepada komuniti setempat, khususnya dalam menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti oleh persatuan dan pertubuhan penerima.
“Di sini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang telah meluluskan geran MRP kepada kita pada tahun ini sebanyak RM295,000 yang kita agihkan kepada penerima.
“Sebenarnya, Yang Amat Berhormat (YAB) tidak pernah mengecewakan kita dan saya percaya ini akan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Geran MRP YAB Premier Sarawak oleh PBB N.68 Tanjong Batu di Hotel Promenade, Bintulu pada Ahad.
Dalam pada itu, Dato Haidar berkata, PBB N.68 Tanjong Batu akan terus berusaha mendapatkan lebih banyak bantuan pada tahun hadapan bagi manfaat masyarakat setempat.
Sementara itu, Timbalan Ketua Cawangan PBB N.68 Tanjong Batu, Sophie Shariee berkata, usaha Dato Haidar mendapatkan geran berkenaan membolehkan manfaat peruntukan disalurkan kepada persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta majlis agama.
Beliau berkata, bantuan berkenaan mencerminkan usaha berterusan PBB N.68 Tanjong Batu dalam memastikan keperluan masyarakat setempat terus mendapat perhatian.
Turut hadir, Naib Ketua Cawangan, Ketua Kampung (KK) Johny Jimon, Ketua Pemuda Cawangan, Lyokarto Sikong, Setiausaha Agung Cawangan, Mohammad Sahari, Bendahari Cawangan, Mohammed Salleh, Ketua Penerangan, Adini Jimon serta Timbalan Ketua Wanita Cawangan, Rosmini Rosli.- EDISI UKAS