Aspirasi Generasi Muda Sarawak Perlu Diberi Perhatian
KUCHING: Aspirasi generasi muda Sarawak perlu diberi perhatian kerana mereka merupakan antara aset penting yang bakal menentukan hala tuju sosial, ekonomi dan demografi negeri pada masa hadapan.
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, aspirasi mereka kini lebih tertumpu kepada usaha membina kehidupan yang stabil, sejahtera dan bermakna, termasuk mendapatkan pekerjaan yang baik, kestabilan kewangan, memiliki rumah serta membina keluarga.
“Golongan muda berumur 15 hingga 29 tahun di Sarawak, yang kini berjumlah sekitar 644,000 orang atau 25.8 peratus daripada 2.5 juta penduduk negeri ini merupakan aset paling berharga bagi masa depan Sarawak.
“Pilihan daripada segi kerjaya, berkahwin dan mempunyai anak yang dibuat oleh generasi ini bukan sahaja menentukan hala tuju kehidupan mereka sendiri, malah akan mencorakkan landskap sosial, ekonomi dan demografi Sarawak pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 Peringkat Negeri Sarawak di Kolej Universiti i-CATS, di sini, pada Isnin.
Dato Sri Nancy memaklumkan, dapatan awal Tinjauan Pendapat Umum Bersempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 di Sarawak menunjukkan pekerjaan yang baik dan stabil menjadi aspirasi utama golongan muda dengan 68.3 peratus.
Katanya, ia diikuti keperluan mempunyai simpanan kewangan mencukupi sebanyak 66.7 peratus, memiliki rumah idaman (63.3 peratus), serta berkahwin dan membina keluarga sendiri (46.7 peratus) yang menggambarkan generasi muda masih berhasrat untuk berkahwin dan membina keluarga.
“Namun, aspirasi tersebut tidak dapat direalisasikan tanpa sokongan dan persekitaran yang kondusif, termasuk sokongan keluarga, kos sara hidup yang terkawal, peluang pekerjaan yang bersesuaian serta keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan.
“Justeru, persediaan ke arah kehidupan dan keluarga yang sejahtera perlu bermula lebih awal melalui pembentukan pengetahuan, nilai dan tanggungjawab, kerana kesejahteraan
generasi muda hari ini akan turut menentukan kualiti individu, keluarga dan masyarakat yang akan dibentuk pada masa hadapan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Dato Sri Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong itu berkata, suara dan pengalaman golongan muda perlu diberi perhatian dalam merangka dasar serta program supaya intervensi yang dilaksanakan benar-benar relevan dengan keperluan mereka.
Tambahnya, Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan terus memperkukuh ekosistem sokongan kepada generasi muda.
Katanya, antara sokongan yang disediakan termasuk Program Pendidikan Praperkahwinan SMARTSTART, pendidikan kekeluargaan dan keibubapaan, kaunseling perkahwinan dan keluarga serta pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial.
Beliau berkata, usaha memperkasa kesejahteraan generasi muda memerlukan komitmen semua pihak termasuk Kerajaan, keluarga, institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan, pemimpin masyarakat dan komuniti.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) mewakili Naib Canselor i-CATS University College Profesor Dato’ Dr. Shazali Abu Mansor, Pengerusi LPPKN Dato Sri Rohani Abdul Karim, Ketua Pengarah LPPKN Dato’ Abdul Shukur Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPWKM Mohd Daud Mohd Arif, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Hanani Sapit, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Nordina Haron, Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM) Norhaslinda Mohd Sibi, Presiden Tribunal Bagi Antigangguan Seksual (TAGS) Syafeera Mohd Said, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rosmahwati Ishak serta Pengarah Pusat Jalinan Komuniti (UMCares), Universiti Malaya, Profesor Madya Chemist Dr. Noraini Ahmad.-EDISI UKAS