Kerja Penambakan Tanah Terminal Lori Miri Capai Kemajuan 70 Peratus
MIRI: Kerja penambakan tanah dan penyediaan tapak bagi membina Terminal Lori Miri yang bernilai RM25 juta kini telah mencatat kemajuan 70 peratus.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, baki kerja tanah termasuk kerja surcaj (surcharge) serta tempoh yang diperlukan bagi proses mendapan tanah tambakan dijadualkan selesai tahun hadapan.
“Baki kerja tanah termasuk kerja surcaj (surcharge) serta tempoh yang diperlukan bagi proses mendapan tanah tambakan dijadualkan selesai menjelang akhir Mac tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pembinaan terminal tersebut bagi meninjau perkembangan kerja penambakan tanah dan penyediaan tapak, di sini, pada Isnin.
Dalam lawatan itu, Dato Sri Lee turut mendengar kebimbangan yang dibangkitkan Persatuan Lori Miri terutamanya mengenai keperluan menyediakan laluan masuk yang lebih sesuai dan mudah bagi lori yang tiba dari arah utara termasuk Brunei, Limbang, Lawas dan Sabah.
Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian lebih awal memandangkan kenderaan berat berkenaan akan menggunakan sebahagian laluan Lebuh Raya Pan Borneo sebelum memasuki terminal.
“Akses yang betul adalah penting untuk memastikan aliran trafik yang lancar, keselamatan jalan raya dan pergerakan kenderaan berat yang cekap,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan kementeriannya mengadakan mesyuarat penyelarasan melibatkan Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Bandaraya Miri, Persatuan Lori Miri, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta agensi berkaitan bagi meneliti susunan akses yang paling sesuai dan praktikal.
Katanya, Terminal Lori Miri merupakan infrastruktur penting bagi rangkaian logistik Miri dan Sarawak Utara kerana bakal menyediakan kemudahan tempat letak kenderaan, rehat dan penginapan untuk pemandu lori jarak jauh.
Selain itu, terminal tersebut turut akan dilengkapi kemudahan pergudangan, pengendalian kargo, penyelenggaraan kenderaan serta kemudahan sokongan lain.
“Kita akan terus bekerjasama rapat dengan pihak industri dan agensi berkaitan bagi memastikan terminal ini dibangunkan dengan selamat, efisien serta memenuhi keperluan sebenar pengusaha logistik.
“Terminal lori yang teratur bermakna jalan raya lebih selamat, kemudahan lebih baik untuk pemandu serta rangkaian logistik yang lebih efisien untuk Miri dan Sarawak Utara,” katanya lagi.-EDISI UKAS