Emas Bibiana Langkah Awal Laluan Ke Paralimpik LA 2028
SELANGOR: Pingat emas yang diraih Bibiana Ahmad dalam kategori Lightweight 61 kilogram (kg) wanita bukan sekadar pencapaian yang membanggakan, malah menjadi sebahagian daripada persiapan awal Sarawak untuk membina laluan atlet itu ke Sukan Paralimpik Los Angeles 2028.
Menurut jurulatihnya Jamil Adam, pencapaian Bibiana hadir selepas sekian lama berada dalam program podium, dengan persiapan sebelum ini lebih banyak memberi tumpuan kepada pertandingan di peringkat kebangsaan.
“Kita akan cuba mengekalkan pencapaian dan prestasi baik seperti ini dan pada masa sama, kita sedang membuat persiapan sebagai laluan ke arah Paralimpik Los Angeles 2028.
“Dia baru setahun menyertai program ini dan kita berharap tahun depan dia dapat menyertai beberapa kejohanan antarabangsa serta beraksi pada tahap yang sangat baik untuk melayakkan diri ke Paralimpik 2028 di Los Angeles nanti,” ujar beliau ketika ditemui.
Namun, sasaran pasukan tidak terhenti pada kejayaan di peringkat domestik apabila persediaan kini turut dirangka ke arah kejohanan antarabangsa sebagai sebahagian daripada laluan kelayakan ke Paralimpik 2028.
Katanya, persiapan awal kini dibuat dengan memberikan tumpuan sepenuhnya bagi memastikan Bibiana bersedia menghadapi sebarang kejohanan antarabangsa, termasuk Para Games yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur tahun depan.
Dalam pada itu, pasukan turut memberi perhatian kepada satu kejohanan di Mexico pada November ini sebagai sebahagian daripada persiapan mereka.
“Walau bagaimanapun, di peringkat awal persediaan ini, memang kita tengah memberikan sepenuhnya untuk memastikan dia bersedia menghadapi mana-mana acara antarabangsa tahun hadapan,” katanya lagi. - EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi