TYT Sarawak & Toh Puan Dukacita Pemergian Mangsa Nahas Helikopter FDS
KUCHING: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menzahirkan rasa amat dukacita atas pemergian lima individu dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, pada Selasa.
Tun Pehin Sri dan Toh Puan merakamkan salam takziah serta simpati yang sedalam-dalamnya kepada seluruh ahli keluarga dan insan tersayang mangsa yang terkorban.
Kehilangan mereka amat dirasai, lebih-lebih lagi apabila empat daripada mangsa merupakan petugas kesihatan yang sedang melaksanakan amanah membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak.
Khidmat yang dilaksanakan menerusi FDS amat besar nilainya kepada rakyat Sarawak, khususnya masyarakat pedalaman yang bergantung kepada perkhidmatan berkenaan untuk mendapatkan rawatan dan penjagaan kesihatan.
Pengorbanan dan khidmat bakti mereka akan sentiasa dikenang kerana mereka pergi ketika sedang melaksanakan tanggungjawab dan amanah demi memberikan perkhidmatan kepada masyarakat yang memerlukan.
Dalam saat yang amat memilukan ini, Tun Pehin Sri dan Toh Puan mendoakan agar seluruh ahli keluarga mangsa diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
Tun Pehin Sri dan Toh Puan turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), petugas kesihatan, pihak berkuasa serta masyarakat setempat yang terlibat dalam operasi di lokasi kejadian.
Bagi mangsa beragama Islam, Tun Pehin Sri dan Toh Puan mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka serta menempatkan mereka dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
Bagi mangsa bukan beragama Islam, mereka mendoakan agar roh mangsa bersemadi dengan aman.
Pemergian lima insan yang mencurahkan khidmat dan bakti kepada masyarakat itu bukan sahaja meninggalkan kesedihan mendalam kepada keluarga, malah turut dirasai seluruh Sarawak.-EDISI UKAS