Long Banyok Berpotensi Jadi Kawasan Pengeluaran Padi Sawah Komersial
BARAM: Kampung Long Banyok dan kawasan sekitarnya berpotensi dibangunkan sebagai kawasan pengeluaran padi sawah secara komersial berikutan memiliki sumber tanah yang luas serta komuniti yang berpengalaman dalam aktiviti pertanian.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Datuk Martin Ben berkata, kelebihan tersebut menyediakan asas yang baik untuk pembangunan tanaman padi sawah secara lebih terancang dan berskala besar.
“Pembangunan padi sawah bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan petani, malah menyumbang kepada pengeluaran makanan tempatan dan memperkukuh keselamatan makanan.
“Melalui perancangan pembangunan yang baik, penggunaan teknologi, mekanisasi, sistem pengairan yang sesuai serta pengurusan yang lebih tersusun, terdapat potensi untuk mengembangkan pengeluaran padi ke arah skala yang lebih komersial,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau semasa Majlis Penangguhan Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Long Banyok, Baram pada Isnin.
Mengulas lanjut, Datuk Martin berkata, kerajaan menerusi AgriCOP terus memperkasa komuniti luar bandar dengan membawa ilmu, kemahiran dan teknologi pertanian secara langsung ke peringkat akar umbi.
Menurutnya, pendekatan itu penting dalam membantu petani beralih daripada kaedah pertanian tradisional kepada pertanian yang lebih moden, produktif, berorientasikan pasaran dan mempunyai nilai komersial.
AgriCOP 2026 melibatkan 150 peserta dari Kampung Long Banyok, Long Ikang, Uma Akeh, Long Puak, Logan Sibong, Rumah Duri Sebatu, Kampung Sebubu dan Kampung Long Lama.
Sepanjang program dua hari itu, peserta didedahkan kepada teknologi penanaman durian dan pisang meliputi pemilihan bahan tanaman berkualiti, penyediaan kawasan, kaedah penanaman, pembajaan, pemangkasan serta pengurusan perosak dan penyakit.
Selain itu, Kursus Pemprosesan Kerepek Pisang turut disertai 60 peserta dari lapan kampung dan rumah panjang bagi meningkatkan kemahiran menghasilkan produk nilai tambah berasaskan hasil pertanian.
Datuk Martin turut menggalakkan golongan belia di Long Banyok dan Telang Usan memanfaatkan teknologi serta mekanisasi bagi menjadikan sektor pertanian sebagai kerjaya dan perniagaan yang berdaya maju.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dominic Nyurang Ajang, Pegawai Daerah Telang Usan, Ezra Uda, Pegawai Pertanian Bahagian, Jabatan Pertanian Bahagian Miri, Chong Mui Sia dan Ketua Kaum Long Banyok, Vinsien Gau.-EDISI UKAS