BAU: Gelanggang tenis Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lake bakal dinaik taraf menerusi peruntukan RM200,000 di bawah Program Transformasi Luarbandar (RTP) bagi tahun 2026.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata, cadangan projek itu bertujuan memastikan kemudahan sukan berkenaan berada dalam keadaan lebih baik, selamat dan selesa untuk digunakan oleh warga sekolah serta komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru itu berkata demikian selepas melakukan lawatan ke tapak cadangan projek tersebut di sini, hari ini.
Semasa lawatan itu, beliau menerima taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Bau selaku agensi pelaksana berhubung skop kerja serta anggaran kos projek.
Antara kerja yang dicadangkan termasuk membaiki permukaan lantai yang retak dan tidak rata, memperkemas sistem saliran bagi mengelakkan takungan air serta mengecat semula gelanggang dengan garisan permainan yang lebih jelas.
Skop turut merangkumi kerja membaiki atau menggantikan pagar perimeter sedia ada bagi meningkatkan aspek keselamatan pemain dan pengguna.
Lawatan berkenaan turut bertujuan mengenal pasti keadaan sebenar gelanggang di tapak supaya skop kerja dapat diselaraskan mengikut keperluan sebelum projek dilaksanakan.-EDISI UKAS