20 Pegawai Digerakkan Dalam Operasi Insiden Helikopter Long Lellang
MIRI: Seramai 20 personel melibatkan pelbagai agensi sedang dipersiapkan untuk digerakkan ke Long Lellang, Ulu Baram pada Rabu bagi meneruskan operasi susulan insiden helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di kawasan berkenaan.
Pasukan itu terdiri daripada 15 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), tiga anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi, seorang wakil Layang-Layang Aerospace dan seorang wakil Malaysia Airports Berhad (MAB).
Pergerakan ke Long Lellang menggunakan helikopter MI-171 (M994-04) milik JBPM dirancang secara berperingkat, dengan penerbangan pertama membawa pasukan operasi sebelum disusuli penerbangan membawa pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sebelum pergerakan dilaksanakan, taklimat operasi diadakan di Pangkalan Udara Wilayah Sarawak, JBPM di Miri bagi memperincikan aspek keselamatan penerbangan, keadaan cuaca, logistik serta pelaksanaan operasi di lokasi kejadian.
Taklimat berkenaan disampaikan oleh Penguasa Kanan Bomba II Kapten Robert James dan dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala, Residen Bahagian Miri, Galong Luang, Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah dan Ketua Polis Daerah Marudi, DSP Nor Aizan Mohd Jamil.
Penyelarasan operasi turut dilaksanakan bersama PDRM, JBPM, MAB dan Layang-Layang Aerospace bagi memastikan pergerakan pasukan serta keperluan operasi ke Long Lellang dapat dilaksanakan secara teratur.
Bagaimanapun, setakat jam 9.45 pagi, penerbangan masih belum dapat dilaksanakan berikutan keadaan hujan sebelum diteruskan pada jam 11.06 pagi.
Terdahulu, sebuah helikopter yang menjalankan perkhidmatan FDS dilaporkan terhempas berhampiran STOLport Long Lellang pada petang Selasa.
Setakat laporan ini disediakan, status kelima-lima mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan masih menunggu pengesahan rasmi pihak berkuasa, manakala operasi susulan di Long Lellang terus dipergiat menerusi penyelarasan pelbagai agensi.- EDISI UKAS