KUCHING: Seramai 450 peserta telah mendaftar menyertai Batik Pelikat Fun Walk 2026 anjuran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) pada 3 Oktober depan, sekali gus membuka ruang untuk pengumpulan dana bagi Tabung ‘Care & Share’ membantu golongan yang memerlukan.
Pengerusi PPWS, Dato Norhyati Mohd Ismail berkata, penganjuran program di Pangkalan Sapi, Kuching itu merupakan sebahagian daripada aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) badan itu selain bertujuan memelihara warisan budaya dan menggalakkan gaya hidup sihat.
Menurut beliau, usaha pengumpulan dana menerusi Tabung ‘Care & Share’ PPWS amat penting bagi menyalurkan sumbangan kebajikan kepada ahli-ahli yang menghadapi musibah seperti bencana kebakaran atau ribut.
Beliau berkata demikian pada sidang media penganjuran Batik Pelikat Fun Walk 2026 di Ibu Pejabat PPWS, Kuching, pada Rabu.
Pada program kali ini, PPWS turut dijadualkan menyerahkan sumbangan cek kepada Persatuan Autisme Kuching sebagai sebahagian daripada usaha kebajikan badan itu.
Beliau menambah, jumlah penyertaan berkenaan telah melebihi sasaran awal seramai 400 peserta, menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap program tersebut.
Katanya, pendaftaran secara terus (walk-in) masih dibuka pada hari kejadian dari jam 5.30 pagi hingga 6.00 pagi dengan bayaran sumbangan secara sukarela yang akan disalurkan terus ke Tabung ‘Care & Share’.
Mengangkat tema ‘Batik Pelikat’, program berjalan kaki sejauh tiga kilometer itu turut memberi penekanan kepada penglibatan wanita, belia, kanak-kanak dan keluarga dalam mengamalkan gaya hidup sihat, di samping mengetengahkan identiti serta kreativiti busana warisan tempatan.
Penganjuran program berkenaan telah dilaksanakan secara berperingkat menerusi cawangan PPWS di seluruh Sarawak, antaranya di Limbang, Bintulu dan Sibu sebelum kemuncak program bagi Daerah Kuching diadakan.
Batik Pelikat Fun Walk 2026 dijangka dirasmikan oleh Penaung PPWS, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Program Batik Pelikat Fun Walk 2026, Rozwati Zakaria, Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) PPWS Cawangan Kuching/Samarahan, Dr. Azlina Bujang serta ahli-ahli Exco PPWS yang lain.- EDISI UKAS