118 Pelajar Batang Sadong Terima Insentif Pendidikan Ke IPT
SIMUNJAN: Seramai 118 pelajar dari kawasan Parlimen P200 Batang Sadong menerima Insentif Pendidikan Ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Fasa Kedua berjumlah RM53,500.
Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee berkata, bantuan berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan dalam membantu anak-anak Batang Sadong yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Menurutnya, bantuan berkenaan bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan keperluan awal pengajian anak-anak, termasuk pembelian komputer riba, buku, kelengkapan pembelajaran dan keperluan asrama.
“Gunakan peluang yang diberikan ini untuk belajar bersungguh-sungguh. Apabila berada di universiti nanti, jaga diri, jaga nama baik keluarga dan jaga nama baik Batang Sadong,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Bantuan Pendidikan, Perubatan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Dewan Setia Simunjan pada Rabu.
Rodiyah menzahirkan rasa bangga terhadap peningkatan jumlah anak muda Batang Sadong yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Beliau menyeru para pelajar supaya memanfaatkan peluang tersebut dengan belajar bersungguh-sungguh, selain sentiasa menjaga diri, nama baik keluarga dan nama baik Batang Sadong.
Dalam pada itu, Dana Perubatan berjumlah RM6,500 turut disalurkan kepada sembilan penerima bagi membantu meringankan beban berkaitan keperluan perubatan.
Turut disalurkan dalam majlis sama ialah dana berjumlah RM87,000 kepada lapan NGO bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti dan program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Rodiyah menjelaskan, sokongan tersebut turut merangkumi usaha memperkasakan aktiviti sukan, belia dan pembangunan komuniti di kawasan Parlimen Batang Sadong.
“Saya berharap semua bantuan dan peruntukan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh para penerima serta memberi impak positif kepada masyarakat, khususnya dalam aspek pendidikan, kebajikan, sukan dan pembangunan komuniti,” jelas beliau. -EDISI UKAS