Sarawak Akur Perak Para Tenpin Boling TPB4 Selepas Pimpin Lima Permainan
SELANGOR: Selepas menguasai kedudukan teratas sepanjang lima permainan, gandingan para tenpin boling Sarawak, Nur Syazwani Marais dan Muhd Zul Adly Majeni terpaksa akur dengan pingat perak selepas dipintas pada permainan terakhir acara Beregu TPB4+TPB4 Akhir Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026.
Gandingan Sarawak itu membuka saingan dengan 350 jatuhan pin sebelum meningkatkan rentak menerusi 406 pin pada permainan kedua, 409 pin pada permainan ketiga dan 422 pin pada permainan keempat.
Mereka kekal menerajui kedudukan selepas permainan kelima meskipun hanya mencatat 281 pin, sebelum berdepan tekanan pada permainan terakhir apabila pasangan tuan rumah Selangor melancarkan kebangkitan untuk mencabar kedudukan teratas.
Sarawak akhirnya menamatkan enam permainan dengan keseluruhan 2,329 jatuhan pin untuk meraih pingat perak, manakala Selangor memintas pada penghujung saingan untuk merangkul emas dengan 2,405 pin.
Terengganu pula melengkapkan kedudukan podium selepas mengumpul 2,207 jatuhan pin untuk membawa pulang gangsa.
Nur Syazwani menjadi penyumbang utama gandingan Sarawak dengan keseluruhan 1,196 jatuhan pin, termasuk catatan 223 pin pada permainan keempat dan 226 pin pada permainan terakhir.
Muhd Zul Adly pula menyumbang 1,133 jatuhan pin dengan catatan terbaik 236 pin pada permainan ketiga.
Dalam acara sama, satu lagi gandingan Sarawak, Azeera Jalani dan Muhammad Hazim Sazali menamatkan saingan di kedudukan keenam selepas mengumpul keseluruhan 2,095 jatuhan pin.
Pasangan itu turut berada dalam kelompok pencabar podium pada peringkat awal apabila menghuni kedudukan ketiga sehingga permainan keempat, sebelum tercicir dalam dua permainan terakhir.
Muhammad Hazim mengumpul 1,159 jatuhan pin dengan purata 193.17, manakala Azeera menyumbang 936 pin sepanjang enam permainan. -EDISI UKAS