Sarawak Blessed Church Terima Geran UNIFOR RM500,000
KUCHING: Sarawak Blessed Church menerima geran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM500,000 bagi membantu kerja-kerja menaik taraf dan menambah baik kemudahan gereja berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin berkata, peruntukan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyokong rumah-rumah ibadat serta memperkukuh kemudahan komuniti di seluruh negeri.
Menurutnya, gereja dan rumah-rumah ibadat bukan sahaja berperanan sebagai pusat keagamaan, malah menjadi ruang masyarakat berkumpul bagi menjalankan aktiviti kebajikan, kemasyarakatan dan sokongan sosial.
“Peruntukan UNIFOR sebanyak RM500,000 ini akan membantu Sarawak Blessed Church melaksanakan kerja-kerja menaik taraf yang diperlukan bagi menyediakan persekitaran yang lebih kondusif, selamat dan selesa untuk jemaah serta aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyerahkan geran tersebut di gereja berkenaan pada Rabu.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kekal komited memastikan pembangunan memberi manfaat kepada semua masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
Ujarnya, pembangunan inklusif, saling menghormati dan memastikan tiada komuniti yang ketinggalan merupakan cara Sarawak.
Jelasnya, beliau selaku wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus menyokong inisiatif yang memperkukuh komuniti serta menambah baik kemudahan yang disediakan untuk rakyat. -EDISI UKAS