Miri Perkukuh Daya Tahan Bandar Hadapi Perubahan Iklim
MIRI: Bandaraya Miri terus memperkukuh daya tahan bandar dalam menghadapi cabaran perubahan iklim khususnya berkaitan pengurusan air dan risiko banjir.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata kepakaran jurutera amat penting dalam memastikan pembangunan infrastruktur bandar mampu memenuhi keperluan pertumbuhan penduduk tanpa mengabaikan kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, tema “Engineers at the Heart of Sustainability” amat bertepatan dengan cabaran semasa yang dihadapi bandar, termasuk perubahan iklim, kekurangan sumber dan keperluan membangunkan persekitaran bandar yang lebih mampan.
“Perubahan iklim bukan lagi kebimbangan yang jauh, sebaliknya ia adalah realiti yang kita hadapi sekarang.
“Sebagai tindak balas, kita telah melibatkan UN-Habitat untuk mengkaji dan menambah baik sistem saliran di kawasan yang terdedah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran IEM Sustainability Month 2026 anjuran Institution of Engineers Malaysia (IEM) Cawangan Miri di Dewan Bandaraya Miri pada Rabu.
Mengulas lanjut, Adam Yii berkata pengurusan air dan banjir merupakan antara cabaran utama Miri, terutama susulan kejadian banjir teruk yang melanda kawasan seperti Senadin dan Lutong kira-kira dua tahun lalu.
Jelasnya inovasi dalam bidang bandar pintar, tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur berdaya tahan serta ekonomi kitaran perlu terus diperkasakan bagi memastikan pembangunan bandar memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
“Dalam usaha meningkatkan daya tahan bandar, katanya, Miri turut memberi perhatian kepada pendekatan penyelesaian berasaskan alam semula jadi (Nature-based Solutions), termasuk pemulihan tanah lembap, koridor hijau dan landskap mampan,” ujarnya lagi.-EDISI UKAS