'Badang Sarawak' Tidak Tercabar Di Saingan Angkat Berat Para SUKMA
SELANGOR: Kutipan lima emas menjadi ukuran paling jelas kekuatan 'badang Sarawak' apabila muncul juara keseluruhan acara angkat berat pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026, sekali gus mengukuhkan gelaran ‘Raja Besi’ di pentas temasya kali ini.
Lebih membanggakan, koleksi emas itu tidak hadir daripada satu kelompok sahaja, sebaliknya diraih menerusi lima kategori berbeza melibatkan atlet lelaki dan wanita, membuktikan kekuatan bakat serta keupayaan Sarawak menguasai platform angkatan dalam pelbagai kelas.
Rentak kejuaraan Sarawak dimulakan Anson Tiong, yang mengangkat 97 kilogram (kg) untuk muncul juara kategori Lelaki 49kg.
Kejayaan itu disusuli Bibiana Ahmad yang menyumbang emas kedua dalam kategori Wanita Lightweight bawah 61kg selepas mencatat angkatan terbaik 86kg.
Sona Agon kemudian meneruskan pesta emas Sarawak dengan menjuarai kategori Wanita Heavyweight lebih 61kg menerusi angkatan 94kg, sebelum Johannes Gabriel Chew menambah satu lagi emas dalam kategori Lelaki 65kg selepas menghasilkan angkatan terbaik 135kg.
Kemuncak penguasaan hadir menerusi Bryan Junency Gustin, yang menutup kempen emas Sarawak dengan kemenangan dalam kategori Lelaki 88kg selepas mengangkat 165kg.
Lima kemenangan itu bukan sahaja memastikan Sarawak mendominasi carta kejuaraan para angkat berat, malah turut menyaksikan kontinjen negeri itu melepasi sasaran awal empat pingat emas yang ditetapkan sebelum temasya bermula.
Dominasi Sarawak tidak terhenti pada kutipan emas sahaja apabila Nurul Rabiatul Adawiyah Bakri turut menyumbang gangsa dalam kategori Wanita Lightweight bawah 61kg dengan angkatan 56kg.
Dalam kategori Lelaki 80kg ke atas, Mohd Firdaus Affandi pula menghadiahkan pingat perak menerusi angkatan terbaik 130kg, manakala Brownson John Gustin menambah satu lagi gangsa untuk Sarawak dalam kategori Lelaki 88kg selepas mengangkat 110kg.
Keseluruhannya, kem para angkat berat Sarawak menutup saingan dengan lima emas, satu perak dan dua gangsa, satu pencapaian yang menyerlahkan keutuhan kontinjen negeri itu dalam acara yang menggabungkan kekuatan fizikal, teknik angkatan dan ketahanan mental. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi