MPP, UNIMAS Meterai MoU Tangani Pembuangan Sampah Haram Dalam Komuniti
PADAWAN: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi melaksanakan projek penyelidikan berkaitan pemerkasaan komuniti melalui pendidikan alam sekitar dalam usaha menangani isu pembuangan sampah haram di kawasan Padawan
Pengerusi MPP, Cr. Tan Kai berkata, Kerjasama berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MPP untuk mengurangkan kes pembuangan sampah haram, selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengurusan sisa domestik dan komersial secara bertanggungjawab.
Tambahnya, kerjasama penyelidikan bersama UNIMAS dijangka menghasilkan impak positif, termasuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat, menambah baik kadar kitar semula serta memupuk rasa tanggungjawab bersama terhadap penjagaan alam sekitar.
"Projek berkenaan turut diharap dapat menggalakkan penyertaan komuniti secara sukarela menerusi aktiviti gotong-royong bagi membersihkan kawasan lapang dan lokasi yang dikenal pasti berdepan masalah pembuangan sampah secara tidak terkawal," katanya dalam majlis tersebut di Bilik Mesyuarat MPP pada Rabu.
Menurutnya, kawasan lapang tidak seharusnya dijadikan tempat pembuangan sampah kerana perbuatan tersebut bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan masyarakat ketika ini, malah memberi kesan kepada generasi akan datang.
Tegasnya, tabiat ini bukan sahaja menjejaskan orang lain, tetapi turut memberi kesan kepada diri sendiri dan generasi akan datang.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Tan bagi pihak MPP, manakala UNIMAS Holdings Sdn. Bhd. diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahrizan Junaini. -EDISI UKAS