MIRI: Waris kepada Doktor Ainul Baroah Kamarudin yang terlibat dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang tiba di Lapangan Terbang Miri pada jam 1.10 petang, Rabu bagi membantu urusan pengesahan identiti mangsa.
Bapa Dr Ainul, Kamarudin Salleh, 69, tiba bersama isterinya, Rogayah Mohd Noor, 69, dan anak sulung mereka, Ainul Husna, 40, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada pagi Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa masih meneruskan urusan berkaitan mangsa termasuk proses pengesahan identiti serta siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah dijangka akan mengadakan sidang media pada jam 4.30 petang ini di Lapangan Terbang Miri.
Helikopter jenis BO-105 yang menjalankan perkhidmatan FDS dilaporkan terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram pada petang Selasa.
Pesawat berkenaan membawa lima individu termasuk seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). - EDISI UKAS