Semangat Kekeluargaan UKAS, Kebajikan Warga Kerja Sentiasa Diutamakan
KUCHING: Semangat kekeluargaan dan budaya saling mengambil berat terus menjadi nilai penting dalam Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), khususnya dalam memastikan kebajikan warga kerja serta keluarga mereka sentiasa diberi perhatian ketika berdepan situasi mencabar.
Keprihatinan itu diterjemahkan menerusi penyampaian sumbangan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol kepada warga UKAS yang sedang melalui ujian kesihatan.
Antara penerima ialah Melati, kakitangan UKAS di Ibu Pejabat yang kini menjalani proses pemulihan, selain keluarga Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali susulan anak beliau yang baru menjalani pembedahan.
Dalam kesempatan itu, Datuk Abdullah turut menitipkan kata-kata semangat kepada penerima agar terus positif dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada proses pemulihan.
Menurut beliau, sokongan dan keprihatinan seperti itu penting bagi memastikan setiap warga kerja serta keluarga mereka merasakan kebajikan dan kesejahteraan mereka sentiasa diberi perhatian.
“Saya berharap Melati terus berfikiran positif dan memberikan tumpuan kepada pemulihan agar dapat kembali sihat serta menjalankan tugas seperti biasa,” katanya ketika ditemui pada Khamis.
Beliau turut berharap sumbangan berkenaan dapat membantu meringankan beban penerima dan keluarga, selain menjadi pembakar semangat untuk mereka terus tabah sepanjang tempoh pemulihan.
Keprihatinan tersebut mencerminkan ikatan kekeluargaan yang erat dalam UKAS, sekali gus memperkukuh budaya kerja yang bukan sahaja menekankan profesionalisme dan produktiviti, tetapi turut berteraskan nilai empati, kebersamaan dan saling mengambil berat.-EDISI UKAS