Pameran Mini Hari Malaysia Perkukuh Pemahaman MA63, Hak Sarawak
MIRI: Pameran Mini Hari Malaysia menjadi platform penting dalam memperkukuh penghayatan masyarakat terhadap sejarah sebenar pembentukan Malaysia, termasuk memahami dengan lebih mendalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, menerusi pameran itu, masyarakat berpeluang melihat dokumen penting serta menelusuri kronologi pembentukan negara sekali gus memperoleh pemahaman yang lebih jelas mengenai kedudukan Sarawak dalam Malaysia.
“Pemahaman yang jelas dan tepat berkenaan dengan asas pembentukan Malaysia dan hak-hak Sarawak dalam MA63 seharusnya difahami dengan baik oleh seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sarawak.
Ia memastikan generasi muda kita menghargai perjuangan para tokoh terdahulu dan terus mempertahankan keharmonian yang telah kita bina bersama di bawah semangat perpaduan yang utuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran Mini Hari Malaysia Peringkat Bahagian Miri 2026 di ruang legar Aras 1, Bintang Megamall, pada Khamis.
Pameran anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Miri dan Pejabat Daerah Miri itu diadakan sehingga 16 September sempena Sarawak menjadi tuan rumah bagi sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu menambah, kestabilan yang dinikmati sejak 1963 telah menyaksikan Bahagian Miri berubah daripada sebuah pekan berteraskan industri minyak dan gas kepada hab ekonomi wilayah utara Sarawak.
“Perkembangan itu dapat dilihat menerusi pelaksanaan pelbagai projek strategik berimpak tinggi termasuk Projek Pembesaran Lapangan Terbang Miri, Projek Jambatan Marina, pembangunan Kuala Baram dan Pelabuhan Miri serta Kenyalang Smart City.
Dato Sri Lee turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Penerangan Daerah Miri dengan kerjasama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) serta semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan penganjuran pameran berkenaan.
Hadir sama Residen Bahagian Miri Galong Luang, penganjur bersama majlis perasmian Pameran Mini Hari Malaysia 2026 Bahagian Miri iaitu Pegawai UKAS Bahagian Miri, Dayang Norazelina Hamdan dan Pegawai Penerangan Daerah Miri, Aidawatie Mustapha, ketua-ketua jabatan dan agensi negeri serta persekutuan dan ketua-ketua masyarakat. –EDISI UKAS