Penajaan Sukan SEA 2027 Bina Rakan Strategik, Bukan Sekadar Tawar Logo, Exposure Dan Aset
SHAH ALAM: Sukan SEA Ke-34 Malaysia 2027 meletakkan aspirasi penajaan yang besar dan memerlukan pendekatan ke pasaran yang jelas, berstruktur, relevan dan mempunyai nilai komersial yang kukuh.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC), Datuk Abdul Rashid Yaakub menjelaskan, penajaan perlu bergerak melangkaui pendekatan tradisional yang hanya menawarkan logo, exposure dan aset.
Katanya, nilai kepada penaja perlu merangkumi ‘engagement’, pengalaman, kandungan, komuniti, B2B, peluang perniagaan, ESG/kelestarian dan legasi.
“Matlamatnya ialah membina ‘strategic partnership’, bukan sekadar hubungan penaja dan penganjur,” ujar beliau dalam ucapan aluannya semasa Sesi Libat Urus Dan Penyelarasan Penajaan Bersama Negeri Kluster di sini pada Khamis.
Dalam konteks ini tegasnya, MASOC, negeri kluster dan ‘Canvasser’ perlu bergerak berdasarkan kerangka penajaan yang selaras.
Malah katanya, perlu ada kefahaman bersama mengenai struktur pakej, nilai dan manfaat, kategori/eksklusiviti, pendekatan kepada prospek serta proses kelulusan.
Menurut beliau, setiap negeri mempunyai kekuatan industri, jaringan perniagaan, pasaran dan prospek yang berbeza dan perkara ini perlu dimanfaatkan.
“Negeri kluster merupakan rakan strategik dalam usaha penajaan dan bukan sekadar pelaksana di peringkat lokasi.
“Peluang dan prospek perlu diselaraskan bersama bagi mengelakkan pertindihan prospek, konflik kategori dan isu eksklusiviti.
“Pendekatan pusat dan negeri perlu saling melengkapi bagi memaksimumkan keseluruhan potensi penajaan Malaysia 2027,” jelasnya.
Beliau juga berharap perbincangan melibatkan para peserta libat urus diadakan secara terbuka, konstruktif dan dua hala dengan fokus bukan sekadar mencapai persetujuan, tetapi menghasilkan mekanisme yang praktikal dan boleh dilaksanakan.
Kira-kira 30 peserta mewakili MASOC dan tiga negeri kluster iaitu Sarawak, Pulau Pinang dan Johor terlibat dalam sesi libat urus diadakan selama tiga hari bermula 10 hingga 12 September ini.
Perbincangan memfokuskan kepada pelbagai topik antaranya Penyelarasan Kerangka, Strategi Dan Hala Tuju Penajaan; Garis Panduan Penjenamaan Sukan SEA Ke-34 Malaysia 2027; Tadbir Urus Dan Tatacara Pengurusan Penajaan; Status Prospek, Dokumentasi Dan Pemuktamadan Pelan Tindakan Negeri Kluster. - EDISI UKAS