MPKS Perkukuh Libat Urus, Tingkat Keberkesanan Perkhidmatan Kepada Komuniti
KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) memperkukuh kerjasama dengan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Ahli Majlis bagi memastikan isu di peringkat komuniti dapat disalurkan dan ditangani dengan lebih berkesan.
Usaha itu dilaksanakan menerusi Program Jerayawara bersama KMKK dan Ahli Majlis Zon Muara Tuang di Dewan Suarah Kota Samarahan pada Khamis.
Program yang dirasmikan Pengerusi MPKS, Kr Abang Ismawi Abang Ali itu turut membuka ruang komunikasi dua hala bagi membolehkan isu, pandangan dan cadangan berkaitan kemudahan serta perkhidmatan di kawasan masing-masing disampaikan secara langsung kepada pihak Majlis.
Dalam sesi berkenaan, MPKS turut menjelaskan peranan, fungsi dan tanggungjawabnya, khususnya berkaitan perkhidmatan seperti pungutan sampah, penyelenggaraan perparitan, pemotongan rumput dan pembersihan kawasan awam.
Peranan Ahli Majlis dan KMKK sebagai penghubung antara MPKS dengan masyarakat turut diberi penekanan, terutama dalam membantu menyalurkan maklumat, aduan serta isu yang memerlukan perhatian dan tindakan pihak berkuasa tempatan.
Masyarakat juga dimaklumkan bahawa sebarang ketidakpatuhan kontraktor yang dilantik MPKS, termasuk kegagalan melaksanakan kerja mengikut skop dan standard ditetapkan, boleh dilaporkan menerusi Ahli Majlis atau KMKK di kawasan masing-masing.
Setiap aduan akan diteliti pihak Majlis dan tindakan sewajarnya boleh diambil sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap terma dan syarat kontrak serta peraturan berkuat kuasa.
Program tersebut disertai enam Ahli Majlis Zon Muara Tuang dan kira-kira 58 KMKK, sekali gus menjadi platform memperkukuh kerjasama dalam usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Ia merupakan kesinambungan Program Jerayawara MPKS bersama kepimpinan Zon Stakan yang diadakan pada 27 Ogos lalu.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Perbandaran MPKS, Kr Daily Joseph, Setiausaha MPKS, Zuraida Idris, Penolong Pegawai Daerah Samarahan, Hayati Sahari serta ketua bahagian dan warga kerja MPKS.-EDISI UKAS