Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 Julang Semangat Perpaduan Tiga Wilayah
KUCHING: Segala penat lelah dan persiapan rapi kini di fasa kemuncak apabila Sarawak diangkat sebagai tuan rumah bagi Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026, yang akan berlangsung meriah di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu, 16 September 2026.
Mengangkat tema rasmi "Malaysia Madani, Sarawak Maju Makmur" dengan semangat #SegulaiSejalai, sambutan tahun ini menzahirkan keharmonian serta manifestasi sebenar pembentukan Malaysia yang menyatukan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah keluarga besar.
Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS), Datu Hamdan Sharbini berkata, sambutan Hari Malaysia kali ini diadakan di Sarawak selepas tahun-tahun sebelumnya diadakan di Semenanjung dan Sabah.
"Kita mengambil giliran ini setelah tahun lepas di Pulau Pinang dan tahun sebelumnya di Sabah... Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung untuk membentuk Malaysia. Jadi, pembentukan itu adalah pada 16 September, tarikh penting bagi keseluruhan rakyat Malaysia,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam program bual bicara Juh Randau anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sini, pada Khamis.
Ujarnya, malam kemuncak 16 September itu bakal diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak serta isteri.
Turut dijadualkan hadir ialah Perdana Menteri Malaysia, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah serta Premier Sarawak bersama barisan menteri kabinet persekutuan dan negeri.
Tambah beliau, antara intipati utama majlis tersebut termasuklah Simbolik Penandatanganan Buku Hari Malaysia, Pantomim & Teater Muzikal, Segmen Khas 'Tiga Wilayah' serta Penyerahan Jalur Gemilang.
Sementara itu, Pameran Hari Malaysia yang bertempat di Plaza Merdeka, Kuching telah bermula dari 10 September hingga 16 September 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
Penganjuran usahasama antara JAPEN, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Arkib Negara Malaysia, Pustaka Negeri Sarawak, dan beberapa agensi lain katanya turut diperluaskan ke 10 bahagian di seluruh Sarawak, di samping reruai khas di Sabah dan Putrajaya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, Sabri Said berkata, pihak JAPEN menerusi Jawatankuasa Media dan Publisiti telah mengatur strategi penyiaran merentasi pelbagai platform termasuk 27 slot radio, siaran langsung stesen televisyen utama (RTM, TVS, Bernama), serta portal rasmi Merdeka360 sebagai sumber rujukan sahih maklumat dan panduan kibaran Jalur Gemilang yang betul.
"Bila ada sambutan sama ada Hari Kebangsaan ataupun Hari Malaysia, kami akan dilibatkan secara tidak langsung untuk menyumbang kepada pengukuhan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat," ujarnya.
Kempen "Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang" terus disemarakkan ke setiap isi rumah, premis pejabat, kenderaan, malah hingga ke rumah-rumah panjang di pedalaman, membuktikan gelora patriotisme anak merdeka sentiasa membara di jiwa rakyat.
"Tidak ada alasan untuk anda semua tidak mendapatkan info yang jelas sebab semua platform kita sudah sediakan. Kibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing dan datanglah ke pameran Hari Malaysia di Plaza Merdeka," katanya.-EDISI UKAS