Astaka Seri Setia Perkukuh Kemudahan Pendidikan SK Seruyuk
SEBUYAU: Usaha memperkukuh kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar diteruskan menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan penyediaan Astaka Seri Setia di Sekolah Kebangsaan (SK) Seruyuk.
Kemudahan berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi, pada Jumaat.
Projek tersebut merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan melalui kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Seruyuk bagi memenuhi keperluan warga sekolah.
Pembinaan Astaka Seri Setia memberi nilai tambah kepada kemudahan sedia ada di sekolah, sekali gus menyediakan ruang yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai keperluan dan aktiviti warga sekolah.
Inisiatif tersebut turut membuktikan kepentingan sokongan berterusan terhadap institusi pendidikan dalam memastikan kemudahan sekolah sentiasa berada pada tahap yang baik demi manfaat murid dan warga pendidik.-EDISI UKAS