Projek Parkir Baharu Masjid Nur Hidayah Seruyuk Siap, Tingkat Keselesaan Jemaah
SEBUYAU: Kawasan parkir baharu di Masjid Nur Hidayah, Kampung Seruyuk yang dilaksanakan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) kini siap sepenuhnya dan bakal memberi kemudahan lebih selesa kepada para jemaah.
Projek berkenaan dirasmikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi, pada Khamis.
Kemudahan parkir tersebut merupakan tambahan kepada bangunan utama Masjid Nur Hidayah yang telah sedia ada, sekali gus menyediakan ruang lebih teratur untuk jemaah meletakkan kenderaan ketika hadir menunaikan ibadah dan menyertai aktiviti di masjid.
Pelaksanaan projek itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kemudahan asas di kawasan luar bandar terus dipertingkatkan demi keselesaan dan kesejahteraan masyarakat, selaras dengan aspirasi Sarawak Maju dan Makmur.-EDISI UKAS