Padang Futsal Berbumbung Seruyuk Tingkat Kemudahan Sukan Belia
SEBUYAU: Kemudahan padang futsal berbumbung di Seruyuk kini memberi ruang lebih selesa kepada golongan belia dan masyarakat setempat untuk menjalankan aktiviti sukan pada bila-bila masa.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi hadir merasmikan padang futsal berkenaan pada Khamis sebagai salah satu kemudahan sukan yang dapat dimanfaatkan oleh penduduk, khususnya anak-anak muda di kawasan Seruyuk.
Kemudahan berbumbung itu membolehkan aktiviti futsal dijalankan sama ada pada waktu siang mahupun malam tanpa terlalu dipengaruhi keadaan cuaca, sekali gus menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat.
Penyediaan kemudahan tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan sukan di kawasan luar bandar serta menyediakan ruang yang lebih kondusif untuk aktiviti riadah dan interaksi komuniti.-EDISI UKAS