12 SmartBoard Perkukuh Pendidikan Digital SJK(C) Chung Hua Tatau
TATAU: Sebanyak 12 unit SmartBoard diperuntukkan kepada SJK(C) Chung Hua Tatau bagi memperkukuh pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berasaskan teknologi, selaras dengan usaha Kerajaan Sarawak memperkasakan pendidikan digital.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, penyediaan kemudahan digital merupakan antara usaha berterusan kerajaan memastikan sekolah di Sarawak mempunyai prasarana pendidikan yang mampu memenuhi keperluan generasi masa kini.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak turut meningkatkan sokongan kepada Sekolah Rendah Bantuan Cina dengan menyediakan peruntukan RM12 juta pada 2026, berbanding RM9 juta pada tahun sebelumnya.
“Penguasaan pelbagai bahasa ini merupakan satu kelebihan kepada generasi muda, khususnya dalam menghadapi peluang pekerjaan yang semakin kompetitif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran SmartBoard SJK(C) Chung Hua Tatau di SJK(C) Chung Hua Tatau, pada Jumaat.
Menurutnya, sekolah jenis kebangsaan Cina turut menjadi pilihan masyarakat pelbagai kaum di Tatau, termasuk Melayu, Iban, Punan dan Beketan.
Katanya, persekitaran pendidikan pelbagai kaum memberi peluang kepada murid menguasai bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Mandarin serta bahasa ibunda masing-masing.
Sementara itu, Guru Besar SJK(C) Chung Hua Tatau, Katherine Hii Suh Yiing berkata, penerimaan 12 unit SmartBoard membolehkan guru melaksanakan PdP dengan lebih kreatif, dinamik dan interaktif.
Menurutnya, kemudahan tersebut turut memberi pengalaman pembelajaran yang lebih menarik dan bermakna kepada murid.
Dalam pada itu, Dato Sri John Sikie turut menyumbangkan RM10,000 kepada pihak sekolah bagi tujuan pembinaan tandas prasekolah.
Sumbangan tersebut membantu pihak sekolah menyediakan kemudahan yang lebih selesa, bersih dan sesuai untuk kegunaan murid prasekolah.
Tahun 2026 turut menjadi tahun istimewa bagi SJK(C) Chung Hua Tatau apabila sekolah berkenaan menyambut ulang tahun ke-100 penubuhannya.
Turut hadir Ahli Jawatankuasa Perundingan Persatuan Bersatu Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan Cina Sarawak, Datuk Pau Chiong Ung, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tatau/Sebauh, Feizlina Talip, Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah SJK(C) Chung Hua Tatau, Ting Meng Hock serta Yang Dipertua PIBG SJK(C) Chung Hua Tatau, Wong Tee Tee.-EDISI UKAS