Pembangunan Bintulu Cerminan Kemajuan Malaysia Sejak 63 Tahun Lalu
BINTULU: Perubahan pesat Bintulu sejak pembentukan Malaysia 63 tahun lalu menjadi bukti kemajuan negara yang perlu dihargai dan dipertahankan.
Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti berkata, Bintulu yang dahulunya bergantung kepada pengangkutan sungai dan mempunyai kemudahan asas kini berkembang menjadi antara pusat perindustrian utama negara, khususnya dengan pembangunan di Samalaju, Tanjung Kidurong dan kawasan bandar.
“Kalau kita melihat kembali Bintulu pada tahun 1963, keadaannya jauh berbeza.
“Tetapi hari ini kita dapat melihat pembangunan yang begitu pesat dengan kewujudan industri seperti di Samalaju, Tanjung Kidurong dan kawasan bandar Bintulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pameran Mini Sambutan Perayaan Hari Malaysia 2026 Peringkat Bahagian Bintulu, pada Khamis.
Datu Nyurak berkata, perkembangan berkenaan turut memberi kesan positif terhadap sosioekonomi penduduk melalui pembukaan lebih banyak peluang pekerjaan dan ekonomi, meskipun pertumbuhan pesat turut membawa cabaran seperti peningkatan kos sara hidup, sewa dan harga rumah.
Katanya, sambutan Hari Malaysia perlu menjadi ruang untuk masyarakat menghayati perjalanan negara sejak 16 September 1963 serta menghargai pengorbanan pemimpin terdahulu dalam membentuk sebuah negara yang aman dan berbilang kaum.
Beliau turut menekankan bahawa kemajuan fizikal perlu bergerak seiring dengan pengukuhan perpaduan dan keterangkuman sosial bagi memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati dalam suasana harmoni.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat terus menyemarakkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak di rumah, premis serta bangunan masing-masing.
Datu Nyurak berkata, semangat cintakan negara tidak seharusnya terhad kepada musim sambutan Hari Malaysia, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui kehidupan seharian dan usaha bersama mengekalkan keamanan, kemakmuran serta perpaduan negara.- EDISI UKAS