Kefahaman MA63 Penting Pastikan Sejarah Pembentukan Malaysia Tidak Disalah Tafsir
MIRI: Kefahaman tepat mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan sejarah pembentukan Malaysia perlu terus diperkukuh dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda, bagi memastikan fakta sejarah negara tidak disalah tafsir.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pemahaman tersebut penting supaya generasi muda dapat menghayati perjuangan tokoh terdahulu serta memahami kedudukan dan hak Sarawak dalam Malaysia.
“Pemahaman yang jelas dan tepat berkenaan asas pembentukan Malaysia dan hak-hak Sarawak dalam MA63 seharusnya difahami dengan baik oleh seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sarawak.
“Ia memastikan generasi muda kita menghargai perjuangan para tokoh terdahulu dan terus mempertahankan keharmonian yang telah kita bina bersama di bawah semangat perpaduan yang utuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran Mini Hari Malaysia Peringkat Bahagian Miri 2026 di pusat beli belah Bintang Megamall, pada Khamis.
Menurutnya, pameran berkenaan memberi peluang kepada masyarakat melihat bahan dan dokumen berkaitan serta menelusuri kronologi pembentukan Malaysia secara lebih dekat.
Katanya, pendekatan sedemikian dapat membantu masyarakat memperoleh gambaran lebih jelas mengenai sejarah pembentukan Malaysia dan kepentingan MA63 dalam konteks Sarawak.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata, perkembangan Miri turut mencerminkan manfaat kestabilan dan pembangunan yang dinikmati sejak pembentukan Malaysia pada 1963.
Menurutnya, Miri kini berkembang daripada sebuah pekan berteraskan industri minyak dan gas kepada hab ekonomi di wilayah utara Sarawak.
Perkembangan tersebut katanya dapat dilihat menerusi pelaksanaan pelbagai projek strategik berimpak tinggi termasuk Projek Pembesaran Lapangan Terbang Miri, Projek Jambatan Marina, pembangunan Kuala Baram dan Pelabuhan Miri serta Kenyalang Smart City.
Pameran anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dengan kerjasama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Pejabat Residen Bahagian Miri dan Pejabat Daerah Miri itu berlangsung sehingga 16 September ini sempena sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026.
Hadir sama Residen Bahagian Miri, Galong Luang, Pegawai UKAS Bahagian Miri, Dayang Norazelina Hamdan serta Pegawai Penerangan Daerah Miri, Aidawatie Mustapha.-EDISI UKAS