Big Bad Wolf Books Perluas Akses Bahan Bacaan, Perkasa Budaya Membaca Di Miri
MIRI: Usaha memperluas akses kepada bahan bacaan serta menyemai budaya membaca dalam kalangan masyarakat terus diperkasa menerusi penganjuran jualan buku Big Bad Wolf Books di Miri dari 24 September hingga 4 Oktober ini.
Jualan berkenaan yang berlangsung di Aras R, Pusat Beli Belah Boulevard, menawarkan pelbagai pilihan buku untuk pembaca daripada kanak-kanak hingga dewasa pada harga berpatutan.
Inisiatif tersebut turut memberi tumpuan kepada usaha membudayakan amalan membaca sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Pendekatan itu turut diperluas menerusi kunjungan ke sekolah dan prasekolah sekitar Miri bagi mengadakan aktiviti membaca bersama pelajar serta berinteraksi dengan pendidik.
Usaha berkenaan dilihat penting dalam mendekatkan golongan muda dengan buku selain membentuk minat membaca dan pembelajaran secara berterusan sejak peringkat awal.
Selain jualan kepada orang awam, inisiatif khas turut disediakan untuk pelajar, pendidik, sekolah dan pusat komuniti bagi membantu memudahkan akses kepada bahan bacaan.
Penganjuran berkenaan diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan membaca, sekali gus melahirkan generasi yang berilmu, berfikiran terbuka serta mempunyai budaya pembelajaran sepanjang hayat.
Jualan buku itu dibuka kepada orang awam secara percuma dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari sepanjang tempoh penganjuran.-EDISI UKAS