PM Dijangka Umum Langkah Interim Tuntutan Sarawak Sempena Hari Malaysia
KOTA KINABALU: Satu langkah interim berhubung tuntutan berpanjangan Sarawak dijangka diumumkan sempena Sambutan Hari Malaysia di Kuching pada 16 September ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan meneruskan perbincangan dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam beberapa hari ini bagi memperincikan perkara tersebut.
“Mengenai Sarawak, saya ingat walaupun tidak termasuk dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, tapi semangat yang sama harus diperkirakan.
“Jadi oleh itu saya akan terus bincang dalam beberapa hari ini dengan Premier Sarawak.
“Mudah-mudahan sebaik 16 September, Hari Malaysia di Kuching, saya boleh umumkan juga langkah interim untuk Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Jumaat.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju meningkatkan pembayaran interim kepada Sabah kepada RM1.5 bilion mulai tahun ini sementara rundingan berhubung tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan dari Sabah diteruskan.
Menurut beliau, pembayaran itu merupakan langkah interim sementara rundingan diteruskan dengan mengambil kira kedudukan kewangan serta perkara yang dipersetujui sebelum ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Sarawak turut mengemukakan pandangan mengenai keperluan memperkenalkan satu formula yang lebih jelas.
“Sarawak ada kemukakan juga pandangan tentang formula yang patut diperkenalkan supaya jelas.
“Formula itu mengambil kira kedudukan kewangan negara, keupayaan, apa yang minima yang boleh dipertimbangkan dan juga maksimal.
“Dan saya setuju dan sudah minta Kementerian Kewangan dan Sarawak untuk bincangkan tentang memperkenalkan formula,” katanya.
Sementara itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyambut baik hasil perbincangan berkenaan, khususnya persetujuan untuk menentukan formula yang bersifat win-win antara Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
“Saya mengucap terima kasih atas perbincangan tadi dan keputusan yang telah kita capai.
“Dan juga saya mengucap terima kasih di atas persetujuan untuk menentukan formula that will be win-win di antara Sarawak dengan Persekutuan," jelasnya. -EDISI UKAS