SAINS Raih Anugerah Infrastruktur Digital Di PIKOM Digital Excellence Awards 2026
KUALA LUMPUR: Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) menerima Anugerah Infrastruktur Digital pada PIKOM Digital Excellence Awards 2026 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian syarikat itu dalam inovasi teknologi, visi strategik dan kepimpinan membangunkan Infrastruktur AI Berdaulat Sarawak.
Anugerah berkenaan disampaikan Pengerusi PIKOM, Alex Liew dan diterima Ketua Pegawai Eksekutif SAINS, Busiai Seman dalam majlis anugerah yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Khamis.
Infrastruktur AI Berdaulat SAINS mewujudkan persekitaran pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) yang bebas dan ditadbir oleh negeri bagi menyokong aspirasi jangka panjang Sarawak dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Dihoskan sepenuhnya di pusat data selamat milik SAINS, infrastruktur berkenaan menerapkan konsep “Sovereignty-by-Design” pada peringkat infrastruktur, sekali gus menjadikan keupayaan pengkomputeran AI sebagai keupayaan strategik negeri.
Visi strategik SAINS adalah untuk menjadikan Infrastruktur AI Berdaulat sebagai asas digital jangka panjang bagi masa depan AI Sarawak, dengan inovasi, tadbir urus dan nilai awam dibangunkan berasaskan infrastruktur yang selamat, dipercayai, ditadbir secara tempatan serta mampu berkembang mengikut keperluan.
Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan SAINS terhadap inovasi teknologi dan usaha memperkukuh infrastruktur digital Sarawak, selain menyokong aspirasi negeri dalam bidang AI dan ekonomi digital. -EDISI UKAS