Pameran Mini Hari Malaysia Platform Pekukuh Patriotisme Di Limbang
LIMBANG: Pameran Mini Hari Malaysia 2026 menjadi platform penting untuk memperkukuh semangat patriotisme dan penghayatan sejarah pembentukan Malaysia dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda di peringkat akar umbi.
Timbalan Residen Bahagian Limbang, Rozita Kulai berkata, sambutan Hari Malaysia perlu dimanfaatkan sebagai wadah meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap sejarah pembentukan negara, selain menghargai kepelbagaian yang menjadi kekuatan Malaysia.
Menurut beliau, penganjuran pameran secara serentak di 10 bahagian di Sarawak membolehkan mesej kenegaraan disampaikan secara lebih dekat dan berkesan kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Majlis Perasmian Pameran Mini Hari Malaysia 2026, di Plaza Limbang, pada Jumaat.
Katanya, pameran yang berlangsung selama tujuh hari, bermula 10 hingga 16 September, menyediakan pelbagai pengisian termasuk kuiz kenegaraan, edaran bahan informasi dan sesi interaktif bersama pengunjung.
Menurut Rozita, pendekatan tersebut penting untuk menarik penglibatan masyarakat, khususnya golongan belia dan pelajar, supaya penghayatan terhadap sejarah pembentukan Malaysia tidak hanya terhad kepada pengetahuan teori.
Sehubungan itu, beliau menyasarkan sekurang-kurangnya 2,000 pengunjung sepanjang tempoh penganjuran pameran berkenaan.
Beliau turut menyeru golongan belia, pelajar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan komuniti setempat mengambil peluang mengunjungi pameran tersebut bagi mendapatkan maklumat serta menghayati mesej kenegaraan yang diketengahkan.
Katanya, penglibatan aktif masyarakat penting bagi memastikan semangat Hari Malaysia dapat diterjemahkan dalam kehidupan seharian, sekali gus memperkukuh perpaduan dan kebersamaan di peringkat akar umbi.
Rozita turut menggalakkan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak di kediaman serta premis perniagaan masing-masing sebagai tanda kecintaan terhadap negara dan Sarawak.
Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Limbang, Mariati Samat, Pegawai UKAS Bahagian Limbang, Rosmaini Mail, Pegawai Penerangan Daerah Limbang, Sumardi Sugiman, wakil Majlis Daerah Limbang, Siti Noramalina Mail serta Pengurus Limbang Plaza, David Chua Kien Teen.- EDISI UKAS