50 Pemegang Taruh Perkukuh Laluan Penyelidikan Sarawak Ke Arah Pengkomersialan
KUCHING: Seramai 50 pemegang taruh daripada industri, penyelidik dan kerajaan dihimpunkan menerusi sesi meja bulat bagi memperkukuh hubungan penyelidikan-industri, menyelaraskan penyelidikan dengan keperluan pasaran serta mewujudkan laluan jelas daripada makmal kepada pengkomersialan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada pembangunan Pelan Hala Tuju Sarawak Bioakademi menerusi kerjasama Sarawak Research and Development Council (SRDC) dan Bioverday Technologies Sdn Bhd.
“Sesi meja bulat hari ini menghimpunkan pemegang taruh utama bagi memperkukuh hubungan penyelidikan dengan industri, menyelaraskan penyelidikan dengan keperluan pasaran serta mewujudkan laluan yang jelas daripada makmal kepada pengkomersialan, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Sarawak Science, Health, Innovation and Engineering (SHInE) International Conference 2026 di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, sesi meja bulat itu menjadi platform untuk menghimpunkan pemain industri, penyelidik dan kerajaan dalam usaha memperkukuh hubungan penyelidikan-industri serta memastikan hasil penyelidikan lebih sejajar dengan keperluan pasaran.
Katanya, Pelan Hala Tuju Sarawak Bioakademi akan dilaksanakan bagi melengkapi, bukannya menduplikasi, inisiatif sedia ada serta memastikan pembangunan bioekonomi Sarawak memberi respons terhadap keutamaan industri.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan penyelidikan di Sarawak tidak terhenti pada peringkat penemuan, sebaliknya diterjemahkan kepada penyelesaian yang mampu menangani masalah sebenar, membuka peluang serta memberi manfaat kepada masyarakat dan ekonomi.
Ujar beliau, Sarawak mempunyai kekayaan biodiversiti, sumber semula jadi serta kumpulan bakat yang semakin berkembang, namun cabaran utama adalah mentransformasikan aset berkenaan kepada pengetahuan, inovasi, industri baharu dan peluang kepada rakyat.
Sehubungan itu, katanya, penyelidikan perlu bergerak melangkaui penerbitan dan penemuan kepada penterjemahan, pengkomersialan dan impak dunia sebenar, dengan penyelesaian mengambil kira kebolehgunaan, peraturan, kebolehskalaan serta keperluan pengguna, termasuk komuniti terpencil dan luar bandar.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan Sarawak SHInE International Conference 2026 sebagai platform yang semakin berkembang daripada himpunan penerima geran SRDC kepada platform antarabangsa yang menghubungkan penyelidik dan rakan kerjasama merentasi sempadan.
Dato Sri Roland berkata, perkembangan tersebut mencerminkan usaha membentuk ekosistem penyelidikan yang lebih berhubung, berpandangan ke luar dan memberi tumpuan kepada impak.
Beliau berharap momentum yang terbentuk menerusi SHInE 2026 dapat diteruskan dengan memperkukuh jaringan sedia ada, memperdalam kerjasama serta memastikan pengetahuan dan hasil penyelidikan diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada Sarawak.-EDISI UKAS