Pengorbanan Petugas Doktor Udara Untuk Pedalaman Dihargai
MIRI: Pengorbanan lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang ketika melaksanakan tugas untuk masyarakat pedalaman Sarawak amat dihargai.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, tragedi yang meragut nyawa seorang juruterbang dan empat petugas perubatan barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu merupakan kehilangan besar, khususnya kepada masyarakat di kawasan pedalaman dan terpencil.
“Mereka kehilangan nyawa ketika menjalankan tugas dan berkhidmat kepada rakyat. Dedikasi serta komitmen mereka amat dikagumi dan kehilangan ini amat dirasai,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau itu, mangsa sanggup berdepan cabaran akses dan pengangkutan yang sukar bagi memastikan penduduk pedalaman terus menerima perkhidmatan kesihatan.
Menurutnya, Perkhidmatan Doktor Udara memainkan peranan penting dalam menyampaikan bantuan perubatan kepada penduduk di kawasan pedalaman Sarawak yang berdepan kekangan akses kepada kemudahan kesihatan.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah dan simpati bagi pihak kerajaan serta rakyat Sarawak kepada keluarga semua mangsa.
Datuk Sebastian berharap keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang, manakala ingatan serta doa seluruh rakyat Sarawak sentiasa bersama mereka dalam tempoh sukar berkenaan.- EDISI UKAS