LIMBANG: Pengukuhan institusi keluarga perlu diberi keutamaan sebagai asas membentuk masyarakat yang harmoni, berdaya tahan dan mampu menghadapi cabaran sosial semasa.
Timbalan Residen Bahagian Limbang, Rozita Kulai berkata, pembangunan masyarakat yang seimbang tidak boleh hanya bergantung kepada kemajuan fizikal, sebaliknya perlu disokong institusi keluarga yang stabil dan sejahtera.
“Keluarga yang stabil dan sejahtera merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang harmoni dan berdaya tahan,” katanya
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Kursus Pengurusan Keluarga (Family Management Course) Sesi 2/2026 di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, aspek pengurusan kewangan isi rumah, kemahiran pertolongan cemas asas dan kesedaran ibu bapa terhadap isu buli dalam kalangan remaja perlu diberi perhatian kerana kesemuanya mempunyai kaitan langsung dengan kesejahteraan keluarga.
Katanya, pengisian kursus bukan sahaja memberikan pengetahuan teori, malah membekalkan kemahiran praktikal yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Dalam pada itu, beliau berkata, penyertaan 100 peserta terdiri daripada penjawat awam, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat menunjukkan kepentingan pendekatan bersama dalam memperkukuh kesejahteraan keluarga dan masyarakat.
Beliau turut menggesa peserta menjadi ejen penyebaran ilmu dengan berkongsi pengetahuan serta kemahiran yang diperoleh sepanjang kursus kepada keluarga dan komuniti masing-masing.
Menurutnya, perkongsian tersebut penting bagi memastikan manfaat program dapat diperluas dan memberi impak lebih besar kepada masyarakat setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Pejabat Kesihatan Daerah Limbang serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang atas kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.- EDISI UKAS