Peningkatan Perwakilan Sabah, Sarawak Perkukuh Keseimbangan Dalam Persekutuan
KUCHING: Persetujuan secara prinsip Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan perwakilan Parlimen bagi Sabah dan Sarawak disifatkan sebagai perkembangan positif dalam usaha memperkukuh perlindungan serta keseimbangan dalam Persekutuan.
Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim berkata, perkara itu tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai penambahan jumlah kerusi, sebaliknya perlu melibatkan peningkatan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, peningkatan perwakilan itu penting bagi mengembalikan keseimbangan yang lebih kukuh dalam Parlimen, selaras dengan sejarah, semangat serta perlindungan yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia pada 1963.
“Oleh itu, peningkatan perwakilan Parlimen bagi Sabah dan Sarawak pada hari ini bukan sekadar soal angka atau politik. Ia juga berkaitan dengan memperkukuh perlindungan dalam Persekutuan serta menjaga kepentingan negara untuk jangka panjang.
“Perwakilan Sabah dan Sarawak yang lebih kukuh akan membantu memastikan bahawa keputusan-keputusan besar negara, khususnya yang melibatkan perkara perlembagaan, terus mengambil kira kepentingan serta keadaan khusus Malaysia Borneo,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Dato’ Ahmad turut menegaskan kepentingan meneruskan proses penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang telah diluluskan Dewan Undangan Negeri Sarawak, daripada 82 kepada 99 kerusi.
Menurut beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini meneruskan proses persempadanan semula, termasuk pameran awam kawasan yang dicadangkan bermula September 2026.
Beliau menegaskan, tiada syarat politik seharusnya dikaitkan dengan proses berkenaan kerana pembentukan dan persempadanan kawasan pilihan raya merupakan proses perlembagaan dan pilihan raya, manakala rundingan mengenai parti politik yang bertanding di sesuatu kawasan merupakan perkara berasingan.
“Kita tidak seharusnya mencampuradukkan proses perlembagaan bagi mewujudkan kawasan pilihan raya dengan rundingan politik mengenai parti mana yang harus diberikan sesuatu kerusi,” tegas beliau. -EDISI UKAS