Sarawak Pacu Industri Nanas, Sasar 20,000 Hektar Menjelang 2030
KUCHING: Sarawak menyasarkan keluasan tanaman nanas ditingkatkan kepada 20,000 hektar menjelang 2030, termasuk pembangunan 2,000 hektar kawasan tanaman baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, sebanyak RM80 juta diperuntukkan bagi tempoh 2026 hingga 2030, termasuk RM15 juta bagi Fasa 1 tahun ini untuk penanaman dan latihan.
“Daripada sekadar menjadi kawasan pengeluaran, kita mahu menjadikan Sarawak sebagai hub utama pengeluaran, pemprosesan, pemasaran, dan eksport nanas," ujarnya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan beliau yang dibacakan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail pada Majlis Perasmian Kursus Perdana Rantaian Industri Nanas Negeri Sarawak Tahun 2026 di sini, pada Jumaat.
Ketika ini, Sarawak mempunyai 2,199.43 hektar tanaman nanas, menjadikannya negeri kedua terbesar di Malaysia dari segi keluasan tanaman, dengan 1,480.10 hektar kawasan berhasil yang menghasilkan 33,231.55 tan metrik.
Dalam usaha memperluas pasaran, Sarawak Gold 1 (SG1) turut diberi tumpuan sebagai varieti premium dengan sasaran penanaman 60 hektar tahun ini, manakala program percubaan eksport ke Singapura sedang dilaksanakan.
Pendekatan ‘Sekali Tanam, Tiga Kali Tuai’ turut diketengahkan bagi meningkatkan nilai ekonomi tanaman melalui buah, sulur atau benih serta sisa tanaman.
Kursus yang berlangsung dari 9 hingga 11 September itu menghimpunkan 200 peserta terdiri daripada pekebun nanas, usahawan industri asas tani, wakil agensi kerajaan dan swasta serta institusi pengajian tinggi.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datu Sirai Daha, Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Mohd Khairuzamri M. Salleh serta Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Sarawak, Dominic Chunggat.- EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: George S. Embie