Dua Pasukan Sarawak Mara Ke Pentas CanSat Asia-Pasifik
KUCHING: Dua pasukan pelajar dari Sarawak bakal membawa cabaran negeri ke pentas Asia-Pasifik selepas mencatat kejayaan membanggakan dalam Malaysia Rocket CanSat Competition (MRCC) 2026 di Perak.
Pasukan SMK Padungan dan Sekolah Seni Malaysia Sarawak masing-masing meraih tempat ketiga dalam kategori yang disertai, sekali gus melayakkan mereka bertanding dalam APRSAF-32 CanSat International Competition di Thailand pada 27 hingga 30 Oktober 2026.
SMK Padungan meraih tempat ketiga bagi kategori 1KM Rocket & CanSat, manakala Sekolah Seni Malaysia Sarawak menduduki tempat ketiga bagi kategori 1KM Rocket pada peringkat akhir MRCC 2026 yang berlangsung dari 8 hingga 10 September di FELCRA Seberang, Perak.
Kedua-dua pasukan itu merupakan antara tiga wakil Sarawak yang mara ke MRCC 2026 selepas muncul sebagai pemenang Sarawak Rocketeers CanSat Challenge (SRC) 2026, bersama SMK Penrissen yang turut membawa cabaran Sarawak pada pertandingan peringkat kebangsaan tersebut.
MRCC 2026 yang diterajui Planetarium Negara dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dengan kerjasama High Energy Material Research Laboratory (HEMREL), Universiti Teknologi MARA (UiTM), menghimpunkan 650 pelajar daripada 130 pasukan yang berdaftar di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, seramai 425 pelajar daripada 104 pasukan layak ke peringkat akhir dan fasa pelancaran di Pasir Salak, Perak, dengan sokongan 152 mentor akademik. [NEW] Siaran Media_Kejayaan Sarawak dalam MRCC 2026.pdf
Sepanjang pertandingan, para pelajar mengaplikasikan kemahiran menerusi pembentangan projek, persediaan sistem CanSat (Can Satelit), tugasan teknikal dan pelancaran roket, selain memperoleh pengalaman dalam teknologi aeroangkasa bersama pasukan dari Malaysia dan luar negara.
Kejayaan tersebut membuka laluan kepada SMK Padungan dan Sekolah Seni Malaysia Sarawak untuk bersaing dengan pasukan pelajar sekolah menengah dari rantau Asia-Pasifik dalam APRSAF-32 CanSat International Competition di Thailand. [NEW] Siaran Media_Kejayaan Sarawak dalam MRCC 2026.pdf
Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Datuk Len Talif Salleh berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan SRC sebagai platform untuk memberi ruang kepada anak muda Sarawak mengembangkan kemahiran serta potensi dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta teknologi aeroangkasa.
“Pencapaian ini menunjukkan bahawa apabila anak muda diberikan ruang untuk meneroka dan menguji idea, mereka mampu membawa kemahiran tersebut ke peringkat yang lebih tinggi.
“TEGAS akan terus menyediakan peluang yang dapat memperkasa bakat tempatan serta menyokong aspirasi PCDS 2030,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
SRC merupakan inisiatif TEGAS yang memberi pendedahan kepada pelajar sekolah menengah Sarawak menerusi pembelajaran berasaskan projek dalam pembangunan CanSat dan roket, sebelum pasukan terbaik diketengahkan ke peringkat kebangsaan. -EDISI UKAS