Program Lawatan Antara Cawangan Eratkan Perpaduan Ahli PBB
SIBU: Program lawatan silaturahim antara cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sibu dan Samariang menjadi platform memperkukuh hubungan serta perpaduan dalam kalangan ahli parti di Sarawak.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Naib Presiden PBB Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, inisiatif berkenaan memberi peluang kepada ahli dari pelbagai kawasan untuk berhimpun, berkenalan dan mengeratkan hubungan antara cawangan.
“Delegasi PBB Samariang singgah di Sibu dalam perjalanan menghadiri Konvensyen Khas Zon Utara PBB sebagai tanda sokongan kepada ahli parti di seluruh Sarawak,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama PBB Samariang di Dewan LAKIS, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, aktiviti lawatan antara cawangan wajar diteruskan memandangkan jaringan perhubungan dan kemudahan jalan raya yang semakin baik, sekali gus memudahkan ahli untuk saling berkunjung.
Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu lagi, Sibu sebelum ini turut menerima kunjungan rombongan dari Saribas, manakala seramai 20 ahli jawatankuasa PBB Nangka mengadakan lawatan balas ke Miri.
Dalam pada itu, Datuk Dr Annuar menggesa ahli parti memberi perhatian khusus kepada golongan belia dan pengundi baharu sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, golongan berkenaan terdedah kepada lambakan maklumat di media sosial yang berpotensi mengelirukan, terutama dalam kalangan mereka yang masih belum memahami sepenuhnya perjuangan dan dasar parti.
“Golongan inilah yang akan menentukan kemenangan atau kekalahan dalam pilihan raya kelak,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua PBB Cawangan Samariang, Baderi Samad. -EDISI UKAS