121 Penduduk Pedalaman Lawas Terima Penilaian Ortopedik Pakar
LAWAS: Seramai 121 penduduk di tiga kawasan pedalaman Lawas menerima penilaian ortopedik pakar menerusi misi lapangan Projek The Bethesda Pathway – Mobiliti Luar Bandar Lawas, manakala 42 individu dikenal pasti memerlukan siasatan atau rawatan lanjut.
Misi selama empat hari dari 7 hingga 10 September lalu itu melibatkan Long Sukang, Long Semadoh dan Ba’Kelalan, dengan pasukan perubatan turun terus ke lapangan bagi menilai keadaan kesihatan penduduk serta mengenal pasti keperluan rawatan dan susulan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan, Baru Bian berkata, pelaksanaan misi berkenaan membuktikan kerjasama antara organisasi bukan kerajaan (NGO), agensi kesihatan dan komuniti mampu membantu memperluas akses perkhidmatan perubatan kepada penduduk pedalaman.
“Ini adalah bukti bahawa jika kita bekerjasama, kawasan-kawasan pedalaman dapat diakses kepada rawatan perubatan.
Saya rasa ini adalah kerjasama yang sangat baik dan saya bersedia untuk menyokong sebuah lagi projek seperti ini di kawasan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pembentangan Projek The Bethesda Pathway – Mobiliti Luar Bandar Lawas, di Hotel Roxy, pada Jumaat.
Daripada 121 penduduk yang menjalani penilaian, 42 individu dikenal pasti memerlukan siasatan atau rawatan lanjut dan akan meneruskan proses rujukan melalui sistem penjagaan kesihatan sedia ada.
Dapatan tersebut menunjukkan keperluan berterusan terhadap perkhidmatan kesihatan bergerak di kawasan pedalaman, khususnya bagi membantu mengenal pasti kes yang memerlukan perhatian pakar tanpa penduduk perlu bergantung sepenuhnya kepada perjalanan ke pusat kesihatan yang lebih jauh.
Selain penilaian perubatan, projek berkenaan turut memperkenalkan Bank Bantuan Berjalan Kaki Komuniti yang akan diuruskan Persatuan Peduli Lawas bagi menyediakan alat bantuan mobiliti kepada penduduk yang memerlukannya di peringkat tempatan.
Menurut Baru Bian, usaha tersebut turut memperlihatkan kepentingan sokongan komuniti dan penglibatan pelbagai pihak dalam memastikan keperluan kesihatan penduduk pedalaman dapat dikenal pasti serta ditangani secara lebih berkesan.
Misi berkenaan diketuai Pakar Bedah Ortopedik dan Trauma Hospital Miri, Dr Thiru Kumaran A/L Mootha Kumaran, dengan penglibatan pasukan perubatan dan kesihatan daripada PKB Limbang, Pejabat Kesihatan Daerah Lawas, Hospital Lawas dan Hospital Miri serta sokongan lima pemandu tempatan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Rotary Bintulu Central (RCBC) selaku penyelaras projek bersama rakan penjagaan kesihatan dan komuniti tempatan atas usaha membawa perkhidmatan penilaian ortopedik secara terus kepada penduduk di kawasan pedalaman.
Turut hadir, Presiden Kelab Rotary Bintulu Central merangkap Penyelaras Projek, Linnie Lee Lay Ghiek, Gabenor Daerah Rotary 3310, Dolly Yeap, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak (Perubatan), Azlee Ayub, Ketua Ortopedik Negeri Sarawak, Ankimtay Rutel, Pengerusi Jawatankuasa Induk Subkepakaran Ortopedik KKM, Kamariah Nor Mohd Daud, Pengarah Hospital Lawas, Douglas Chu dan Pegawai Kesihatan Daerah Lawas, Rudy Ngau Ajeng. -EDISI UKAS