Jambatan Marina RM341.17 Juta Tingkat Kesalinghubungan, Tarikan Baharu Miri
MIRI: Projek Jambatan Marina bernilai RM341.17 juta dijangka memberi lonjakan kepada kesalinghubungan di Miri apabila siap pada Mei 2029, dengan masa perjalanan antara kawasan bandar dan Kampung Pulau Melayu dipendekkan daripada kira-kira 25 minit kepada hanya lima minit.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, projek berkenaan bukan sahaja memberi manfaat dari aspek perhubungan, malah berpotensi menjadi mercu tanda baharu bandar raya Miri menerusi reka bentuk jambatan cable-stayed yang unik.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat dan mengadakan lawatan kerja di tapak pembinaan Jambatan Marina, di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, projek yang mempunyai tempoh pembinaan selama 36 bulan itu kini berada pada peringkat awal selepas kerja pembinaan dimulakan pada Mei 2026.
Jambatan berkenaan akan dibina sepanjang kira-kira 650 meter, selain melibatkan kerja-kerja jalan dan kemudahan berkaitan.
Datul Ir Aidel berkata, reka bentuk ikonik jambatan itu dijangka menambah nilai kepada landskap bandar raya Miri serta berpotensi memperkukuh sektor pelancongan melalui kewujudan satu lagi tarikan baharu di bandar raya berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan projek tersebut perlu diberi perhatian dari aspek keselamatan awam memandangkan kawasan pembinaan akan ditutup sepanjang tempoh kerja.
Katanya, penutupan berkenaan penting bagi memastikan kerja-kerja pembinaan, termasuk pembinaan jalan dan pemasangan struktur jambatan, dapat dilaksanakan dengan lancar serta selamat.
Projek Jambatan Marina merupakan antara pembangunan yang diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sempena sambutan Hari Sarawak 2025.
Taklimat turut disampaikan Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri, Stephen Ung Neng Hui.-EDISI UKAS