6,500 Warga Emas, OKU Terima Manfaat Program RYTHM
MIRI: Seramai 6,500 warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) bakal menerima manfaat menerusi Program Ritma Kehidupan Harmoni (RYTHM) dan Program Terapi OKU yang dilaksanakan berasaskan pendekatan komuniti dengan peruntukan keseluruhan RM5 juta.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, program berkenaan bukan sekadar menyediakan sokongan kebajikan dan terapi, malah menggalakkan penglibatan pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan komuniti setempat.
Katanya, penglibatan golongan muda khususnya mahasiswa memberi nilai tambah kepada pelaksanaan program apabila ilmu dan kemahiran yang dipelajari dapat diterjemahkan kepada khidmat secara langsung kepada masyarakat.
“Kesejahteraan masyarakat tidak boleh dibina melalui usaha kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan ilmu, kepakaran, tenaga muda dan nilai kemanusiaan digerakkan secara bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program RYTHM dan Program Terapi OKU Bahagian Miri di Dewan Persatuan Ibu Bapa Kanak-Kanak Istimewa Miri (PIBAKIS), pada Sabtu.
Daripada keseluruhan peruntukan RM5 juta, RM1.995 juta disediakan bagi pelaksanaan 133 Program Sihat Warga Emas, RM1.995 juta bagi 133 Program Terapi OKU, manakala RM1.01 juta diperuntukkan untuk enam siri latihan dan seminar berkaitan penjagaan warga emas serta terapi OKU.
Bagi Sarawak pula, sebanyak 12 Program Sihat Warga Emas dilaksanakan dengan peruntukan RM180,000, manakala 10 Program Terapi OKU melibatkan RM150,000, selain RM92,500 bagi latihan berkaitan penjagaan serta terapi OKU dan warga emas.
Dato Sri Nancy berkata, pendekatan terapi dalam suasana mesra, kreatif dan inklusif memberi peluang kepada peserta OKU mengekspresikan diri, membina keyakinan serta menggalakkan interaksi sosial.
Di Miri, pengisian program merangkumi nyanyian, tarian, terapi seni menerusi drum circle serta aktiviti seni dan kreativiti yang dirangka sebagai medium untuk menyokong kesejahteraan fizikal dan mental peserta.
Menurutnya, pengalaman mahasiswa berada di lapangan juga penting dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja mempunyai kemahiran profesional, tetapi turut memiliki empati, kepekaan sosial dan rasa tanggungjawab terhadap komuniti.
Program RYTHM Fasa Dua dilaksanakan di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu sebagai kesinambungan Fasa Satu yang berlangsung di Betong dan Kuching pada Mei lalu.
Dato Sri Nancy berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, NGO, sukarelawan, sektor swasta dan komuniti setempat bagi memastikan sokongan kebajikan serta pendekatan kesukarelawanan kepada golongan sasar dapat diteruskan secara berterusan.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Pengarah (Persekutuan) Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Mohd Ali Taib, Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Mohammed Kamaluddin Mohd Effendie, Presiden Persatuan Ibu Bapa Kanak-Kanak Istimewa Miri (PIBAKIS), Chiam Yun Chaw serta Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri, Vivian Engkiong. -EDISI UKAS