30 Sekolah Tatau/Sebauh Perkasa Intervensi 3M Menerusi Karnival FUN-Tastik!
BINTULU: Sebanyak 30 sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tatau/Sebauh memperkukuh usaha menangani penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) murid menerusi Karnival 3M FUN-Tastik! Showcase.
Karnival berkenaan menjadi platform kepada sekolah mengetengahkan pendekatan intervensi, inovasi serta amalan terbaik guru dalam membantu murid menguasai kemahiran asas 3M, selain memberi peluang kepada masyarakat melihat usaha yang dilaksanakan di peringkat sekolah dan daerah.
Penolong Pengarah Unit Bahasa, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Nurul Azreen Abdullah berkata, pendekatan intervensi yang bersesuaian perlu diberikan kepada murid berdasarkan keperluan dan tahap pembelajaran masing-masing.
“Setiap murid boleh belajar tetapi mungkin mereka memerlukan pendekatan, masa dan kaedah yang berbeza untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival 3M FUN-Tastik! Showcase, di dini pada Jumaat.
Beliau berkata, penganjuran karnival itu turut memperkasa pelaksanaan Program Pemulihan Khas di peringkat sekolah dan daerah, khususnya menerusi penghasilan bahan pengajaran dan pembelajaran yang lebih kreatif serta berfokus.
Menurutnya, perkongsian amalan terbaik antara guru juga penting bagi memperluas penggunaan kaedah intervensi yang berkesan dan boleh disesuaikan mengikut keperluan murid di sekolah masing-masing.
Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tatau/Sebauh, Sektor Pembelajaran, Fiezlina Talip berkata, idea dan inovasi yang diketengahkan sepanjang karnival perlu diterjemahkan kepada tindakan susulan di sekolah.
Beliau berkata, perkongsian berkenaan wajar menjadi pencetus kepada kolaborasi lebih kukuh antara guru dan sekolah dalam mempertingkat keberkesanan intervensi 3M.
Karnival tersebut turut mempamerkan hasil kerja murid serta amalan terbaik sekolah dan mendapat kerjasama serta sokongan Yayasan Sarawak. -EDISI UKAS