MAIS Perkukuh Kefahaman Adat Bidayuh 1994 Dalam Kalangan Diaspora Di Semenanjung
KUALA LUMPUR: Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) terus memperkukuh kefahaman masyarakat Bidayuh di Semenanjung Malaysia terhadap Adat Bidayuh 1994 menerusi inisiatif pemerkasaan adat bersama komuniti diaspora Bidayuh.
Ketua MAIS, Datu Dr Neilson Ilan Mersat berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha outreach MAIS untuk memperluas jaringan kerjasama serta mengeratkan hubungan dengan komuniti Bidayuh yang menetap di luar Sarawak.
Menurutnya, kewujudan diaspora Bidayuh di Semenanjung Malaysia mencerminkan hubungan berterusan masyarakat tersebut dengan asal-usul, identiti dan warisan budaya mereka meskipun berada jauh dari Sarawak.
“Program ini bertujuan memperkenalkan serta memperkemaskan kefahaman komuniti terhadap Adat Bidayuh 1994, di samping mengumpul pandangan, pengalaman dan maklum balas berhubung amalan adat dalam konteks kehidupan seharian di luar Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemerkasaan Adat Bidayuh 1994 Bersama Komuniti Bidayuh di Semenanjung Malaysia, di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Program anjuran MAIS dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Cawangan Klang Valley itu disertai 50 peserta daripada komuniti Bidayuh yang menetap di Semenanjung Malaysia.
Datu Dr Neilson berkata, MAIS akan meneruskan inisiatif outreach seumpama itu bagi memastikan masyarakat etnik Sarawak di perantauan sentiasa mendapat maklumat terkini berkaitan kodifikasi serta kajian semula adat natif.
Katanya, usaha berkenaan penting bagi memastikan adat tradisi natif terus difahami dan diamalkan, selain kekal relevan dengan perubahan kehidupan serta keperluan masyarakat masa kini.
“Pendekatan ini juga memberi ruang kepada MAIS untuk mendapatkan pandangan dan pengalaman masyarakat Bidayuh di luar Sarawak mengenai pelaksanaan adat dalam kehidupan seharian,” katanya.
Turut hadir, Pengarah, Pusat Kajian Politik Dan Diplomasi Ekonomi, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri, Kementerian Luar Negeri Malaysia, Dato’ Westmoreland Edward Palon; Pengarah, Pusat Diplomasi Bahasa Dan Budaya, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri, Kementerian Luar Negeri Malaysia, Ambassador Gloria Corina Peter Tiwet; Wakil Setiausaha Majlis, Majlis Adat Istiadat Sarawak, Puan Connie Christopher Kesa; Pengerusi, Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh Cawangan Klang Valley, Tuan John Riba Marin; Ketua Masyarakat Bidayuh Bahagian Serian, Temenggong Henry Bujang Sendan; dan Ketua Masyarakat Bidayuh Bahagian Kuching, Temenggong Atok Derop serta pegawai-pegawai kanan Majlis Adat Istiadat Sarawak. -EDISI UKAS