Pendidikan Cina Diperkasa Menerusi Pengadaptasian AI
MIRI: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pendidikan Cina sebagai sebahagian daripada kekuatan sistem pendidikan pelbagai bahasa dan budaya di negeri ini, termasuk menggalakkan sekolah menyesuaikan kaedah pengajaran dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sokongan berterusan kerajaan negeri terhadap Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah menengah persendirian Cina penting bagi memastikan pendidikan aliran tersebut terus berkembang seiring dengan tuntutan semasa.
Menurut beliau, generasi akan datang bukan sahaja perlu mempunyai akar budaya yang kukuh, malah perlu dilengkapi pengetahuan, kemahiran serta pandangan yang luas bagi menghadapi perubahan dunia dan landskap pekerjaan masa depan.
“Generasi akan datang bukan sahaja perlu mempunyai akar budaya yang kukuh, tetapi juga pengetahuan, kemahiran dan pandangan yang luas untuk menghadapi dunia masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-80 SJKC Chung Hua Lutong, di sini pada Jumaat.
Dato Sri Lee berkata, Kerajaan Sarawak setiap tahun menyediakan peruntukan bagi membantu sekolah meningkatkan kemudahan, memperbaiki persekitaran pembelajaran serta memastikan pendidikan Cina terus berkembang dengan kukuh.
Katanya, pengiktirafan Sarawak terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) turut membuka lebih banyak peluang kepada pelajar aliran pendidikan Cina untuk melanjutkan pengajian dan membina masa depan di Sarawak.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan pendidikan tinggi percuma Sarawak mulai 2026 memperlihatkan komitmen kerajaan negeri untuk memperluas akses pendidikan tinggi kepada anak Sarawak yang layak tanpa mengira latar belakang.
Menurutnya, pelbagai bentuk sokongan turut disediakan termasuk elaun pelajar, komputer riba, baucar buku dan subsidi penerbangan bagi membantu mengurangkan beban kewangan keluarga serta memastikan faktor ekonomi tidak menjadi penghalang kepada peluang pendidikan.
Pada masa sama, Dato Sri Lee menegaskan pendidikan Cina bukan sekadar memberi tumpuan kepada pencapaian akademik, malah memainkan peranan penting dalam memelihara bahasa dan budaya serta membentuk nilai, sahsiah dan sikap saling menghormati dalam kalangan generasi muda.
Sehubungan itu, beliau menggesa sekolah Cina terus menyesuaikan diri dengan perkembangan AI, pendidikan digital dan pendekatan pembelajaran inovatif bagi memastikan pelajar memiliki kemahiran yang relevan dengan perubahan teknologi serta keperluan dunia pekerjaan masa depan.
Beliau turut menegaskan dasar pendidikan Sarawak perlu terus memastikan semua golongan mendapat peluang yang sama untuk belajar, berkembang dan merealisasikan potensi masing-masing, selaras dengan aspirasi Sarawak sebagai negeri yang inklusif dan berbilang budaya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Lawrence Kong San Hoe, Guru Besar SJKC Chung Hua Lutong Hii Lim Ing dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Majlis Donny Koo Hon Nien. -EDISI UKAS