Kembalinya Jom Heboh Ke Miri Rancakkan Ekonomi Setempat
MIRI: Kembalinya Karnival Jom Heboh ke Miri selepas 19 tahun dijangka menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi setempat menerusi peningkatan kunjungan orang ramai ke bandar raya itu pada 26 dan 27 September ini.
Residen Bahagian Miri, Galong Luang berkata, penganjuran acara berskala besar berpotensi memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat, khususnya sektor perniagaan, selain mengukuhkan kedudukan Miri sebagai destinasi acara berskala besar.
“Kita mengalu-alukan Karnival Jom Heboh di Miri kerana acara berskala besar mampu merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
“Pejabat Residen Bahagian Miri akan membantu dari segi hebahan dan penyelarasan program, selain memastikan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik mencukupi bagi memastikan karnival berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak 2026 di Bilik Mesyuarat, Pejabat Residen Bahagian Miri, pada Jumaat.
Menurut Galong, Miri sebelum ini turut menjadi lokasi pelbagai acara berskala besar seperti Miri Marathon, Taste of Borneo dan Gawai Dayak Bazaar Peringkat Negeri yang mendapat sambutan menggalakkan.
Katanya, penganjuran acara sedemikian bukan sahaja menarik kehadiran pengunjung, malah memberi peluang kepada sektor perniagaan tempatan untuk meningkatkan aktiviti ekonomi sepanjang berlangsungnya program.
Sehubungan itu, beliau berkata penyelarasan awal antara jabatan dan agensi berkaitan amat penting bagi memastikan aspek kemudahan asas, keselamatan dan keperluan operasi berada pada tahap yang diperlukan.
Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak 2026 akan berlangsung di ruang parkir terbuka Pusat Beli-Belah Boulevard, Jalan Pujut, Miri dan menjadi destinasi seterusnya bagi siri karnival berkenaan selepas Kota Samarahan.
Penganjuran kali ini turut menandakan kembalinya Jom Heboh ke Miri selepas kali terakhir diadakan pada 2007, sekali gus dijangka menarik kehadiran orang ramai dari Miri dan kawasan sekitarnya.
Dalam mesyuarat berkenaan, wakil Media Prima turut memberi taklimat mengenai perancangan karnival bagi membolehkan jabatan dan agensi terlibat menyelaras peranan serta keperluan masing-masing. -EDISI UKAS