Pameran Hari Malaysia 'Benteng' Fakta Sejarah Dalam Era AI
KUCHING: Pameran sempena Hari Malaysia di Plaza Merdeka di sini menjadi medium penting dalam memperkukuh pemahaman generasi muda terhadap sejarah pembentukan Malaysia, khususnya dalam era kecerdasan buatan (AI) dan media sosial yang semakin menjadi sumber rujukan maklumat.
Tinjauan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Sabtu mendapati pameran berkenaan memberi peluang kepada pengunjung mendalami sejarah menerusi penyampaian fakta, gambar dan grafik yang lebih mudah difahami selain menjadi ruang mendapatkan maklumat sejarah daripada sumber yang sahih.
Seorang pengunjung, Muhammad Aliff, 24, berkata perkembangan teknologi membolehkan generasi muda memperoleh maklumat dengan mudah menerusi AI dan media sosial, namun kesahihan fakta yang diterima perlu diteliti bagi mengelakkan penyebaran maklumat sejarah yang tidak tepat.
“Ia akan memberi fakta yang salah, yang seterusnya akan menyebarkan fakta yang salah. Contohnya, apabila menyentuh tahun kemerdekaan, kadang-kadang interpretasinya boleh menjadi salah.
“Jadi, lebih baik pergi ke muzium atau tempat-tempat yang mempamerkan sejarah yang sahih,” ujarnya.
Menurutnya, pameran seumpama itu penting sebagai sumber rujukan alternatif kepada generasi muda agar mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada sumber digital dalam memahami sejarah negara.
Pandangan sama turut dikongsi Mohamad Saiful, 39, yang menyifatkan pameran berkenaan sebagai medium berkesan untuk membantu pelajar menambah pengetahuan mengenai sejarah Sarawak dan Malaysia.
“Kira menjadi kewajipan kita sebagai generasi yang baharu untuk mengetahui tentang sejarah di Sarawak ataupun Malaysia. Sebab semua yang ada pada waktu tok adalah daripada orang yang terdahulu,” ujarnya.
Sementara itu, Adillah Ismail, 49, berkata penghayatan terhadap sejarah perlu terus diperkukuh bagi memastikan generasi muda memahami pengorbanan generasi terdahulu dalam pembentukan Malaysia, sekali gus menyedari kepentingan memelihara perpaduan.
“Kalau generasi muda Malaysia kita tidak pernah diberi penerangan, ia akan menjadikan perpaduannya akan goyah sedikit,” tegasnya.
Dalam pada itu, Raufa Irman, 44, berpandangan penggunaan fakta, gambar dan grafik dalam pameran membantu generasi muda menghubungkan pengetahuan yang dipelajari di sekolah dengan sejarah yang dipaparkan menerusi bahan pameran.
Mengulas mengenai Sarawak sebagai tuan rumah Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 pada 16 September ini, para responden menyifatkan penganjuran tersebut sebagai satu kebanggaan, selain membuka ruang untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan Sarawak dan Sabah dalam pembentukan Malaysia.
Mereka turut melihat sambutan berkenaan sebagai platform untuk mengetengahkan sejarah, kepelbagaian etnik, budaya dan tradisi Sarawak kepada masyarakat dari luar negeri ini, sekali gus memperkukuh hubungan serta semangat perpaduan antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.-EDISI UKAS